HomeIsu tempatan'Runner Minyak’ tumpas, 40 gelen petrol dirampas

‘Runner Minyak’ tumpas, 40 gelen petrol dirampas

Read Time:1 Minute, 20 Second

TAWAU : Taktik membawa bahan api dalam kuantiti kecil bagi mengelak dikesan pihak berkuasa berakhir apabila Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia)  menahan sebuah bot kargo tempatan disyaki ‘runner minyak’ di perairan Tawau, pagi semalam.

Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Ariffin Ghazali berkata, bot berkenaan dikesan bergerak dalam keadaan mencurigakan dari arah Tawau menuju ke Pulau Sebatik sebelum berjaya dipintas kira-kira 0.8 batu nautika utara Muara Sungai Aji Kuning.

Beliau berkata, pemeriksaan ke atas bot yang dikendalikan seorang lelaki tempatan berusia 27 tahun menemui 40 gelen petrol dianggarkan berjumlah 1,200 liter serta tiga tong gas LPG berisi, dipercayai cuba diseludup keluar tanpa permit.

“Juragan bot turut gagal mengemukakan lesen pendaftaran bot yang sah ketika pemeriksaan dijalankan,” katanya dalam kenyataan di sini.

Menurut beliau lagi, bot, enjin dan semua muatan dirampas sebelum dibawa ke Jeti Zon Maritim Tawau untuk siasatan lanjut di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 serta Enakmen Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS) 2002. 

Tambahnya, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM46,000.

Ariffin berkata, modus operandi membawa bahan api dalam kuantiti kecil tetapi dilakukan secara berulang merupakan antara taktik sindiket penyeludupan yang perlu dibanteras secara berterusan.

“Penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan tanpa mengira kuantiti barangan yang dibawa, khususnya di perairan Tawau yang sering menjadi laluan rentas sempadan,” katanya.

Beliau menambah, Maritim Malaysia memandang serius sebarang aktiviti jenayah di laut dan akan memastikan aset rondaan sentiasa bersedia untuk digerakkan pada bila-bila masa.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah maritim diminta menyalurkannya ke Pusat Operasi Zon Maritim Tawau di talian 089-750116 atau talian kecemasan 999 bagi tindakan segera,” katanya. 

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

Program Smart Care UMS kukuh asuhan selamat, komuniti sejahtera

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular