Oleh Normimie Diun
KOTA KINABALU: Polis berjaya memberkas dua lelaki tempatan selepas disyaki terlibat dalam kegiatan kecurian kabel, pemilikan senjata tiruan serta kesalahan berkaitan dadah dalam satu operasi di Kota Kinabalu pada 7 Februari lalu.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, kejadian berlaku kira-kira 6.30 pagi ketika sepasukan anggota Unit Rondaan MPV menjalankan rondaan cegah jenayah di kawasan Maktab Gaya sebelum mengesan kedua-dua suspek sedang memotong kabel.
Menurutnya, suspek bertindak melarikan diri menggunakan sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux dan memandu secara agresif, termasuk menghimpit kenderaan polis, memasuki laluan bertentangan serta hampir merempuh sekatan polis.
“Kejar-mengejar berakhir di Taman Putra Perdana, Telipok selepas kenderaan suspek terbabas akibat tayar belakang pecah dan kedua-dua suspek berjaya diberkas walaupun cuba melarikan diri,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu di sini, hari ini.
Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan menemui tiga batang kabel, dua alat pemotong kabel, pelbagai peralatan jenayah lain, sepucuk pistol tiruan serta dadah jenis syabu seberat 0.44 gram.
Kasim berkata, hasil ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek lelaki berusia 31 dan 33 tahun itu positif dadah, dengan seorang daripadanya merupakan bekas anggota keselamatan manakala seorang lagi sedang dalam tempoh parol (tempoh kebebasan bersyarat).
Kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh, Seksyen 431A Kanun Keseksaan berkaitan kecurian kabel, Seksyen 36 Akta Senjata Api berhubung pemilikan senjata tiruan serta Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya.
Dalam perkembangan berkaitan, Kasim berkata Polis Diraja Malaysia merekodkan sebanyak 160 kes kecurian kabel di daerah Kota Kinabalu sepanjang tahun 2025, membabitkan kerugian keseluruhan dianggarkan hampir RM1.3 juta.
Daripada jumlah tersebut, 120 tangkapan telah dibuat dengan 93 kes berjaya dituduh di mahkamah, manakala tujuh kes masih dalam siasatan.
Menurutnya, kes-kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 431A Kanun Keseksaan dan melibatkan beberapa syarikat telekomunikasi serta utiliti.
“Antara yang paling terkesan ialah sektor telekomunikasi dengan 65 kes, diikuti syarikat perkhidmatan utiliti lain sebanyak 45 kes dan Sabah Electricity Sdn Bhd dengan 30 kes. Turut terlibat ialah Maxis, Digi dan Celcom,” katanya.
Bagi tahun 2026, setakat ini polis merekodkan enam tangkapan dengan lima kes telah dituduh, manakala tiada kes diklasifikasikan sebagai No Further Action (NFA).
Beliau berkata, tangkapan dibuat hasil beberapa operasi bersepadu melibatkan Unit Rondaan MPV dan Pasukan Petugas Khas di sekitar Inanam, Menggatal, Kota Kinabalu, Tanjung Aru, Tuaran dan Penampang.
“Hasil operasi, polis menahan beberapa individu termasuk warga tempatan dan pendatang asing tanpa izin serta merampas kabel konduktor tembaga yang dipotong, dibakar dan dilonggokkan,” katanya.
Turut dirampas ialah pelbagai jenis kenderaan termasuk pacuan empat roda, lori dan kenderaan tanpa nombor pendaftaran, selain peralatan memotong kabel seperti pemotong besi, mesin pengisar, gergaji serta peralatan sokongan termasuk tali penunda, winching, chain block dan tangga besi.
Kasim menegaskan, kecurian kabel bukan sahaja menyebabkan kerugian kewangan, malah memberi kesan serius terhadap keselamatan awam, gangguan perkhidmatan komunikasi, internet serta boleh mencetuskan gangguan bekalan elektrik dan kejadian blackout.



