Oleh Normimie Diun
KOTA KINABALU: Dakwaan tular di media sosial kononnya Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ronald Kiandee, bakal menyertai Gabungan Rakyat Sabah (GRS) disifatkan sebagai spekulasi semata-mata.
Timbalan Setiausaha Agung GRS, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, setakat ini tiada sebarang keputusan rasmi dibuat dan perkara berkenaan terlalu awal untuk diperkatakan.
“Saya ada melihat perkara itu ditularkan, tetapi belum sempat membaca keseluruhan cerita. Pada peringkat ini, saya melihat ia sebagai satu spekulasi dan andaian kerana masih terlalu awal.
“Sebagai seorang yang sudah lama dalam politik, saya tidak fikir Datuk Seri Ronald Kiandee membuat keputusan pada peringkat ini untuk ke mana-mana parti,” katanya.
Bagaimanapun, Armizan menegaskan kenyataan tersebut adalah pandangan peribadi dan tidak mewakili mana-mana parti komponen dalam GRS.
“Saya tidak bercakap mewakili GRS walaupun saya Timbalan Setiausaha Agung. Perkara ini tidak pernah dibincangkan, apatah lagi untuk mewakili parti-parti komponen seperti Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS), Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS), Parti Liberal Demokratik (LDP) mahu pun Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO),” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata mana-mana pihak yang berhasrat menyertai GRS perlu kembali kepada empat teras perjuangan gabungan itu iaitu Sabah First, Sabah Prosper, Sabah Forward dan Sabah United.
Menurutnya, secara peribadi beliau berpandangan GRS dan parti-parti komponen tempatan perlu bersikap terbuka menerima mana-mana pihak yang ingin bersama, selagi mereka berpegang kepada empat teras berkenaan.
“Apabila semua berada dalam landasan parti politik tempatan, suara kita akan menjadi lebih kuat. Kita akan kuat apabila kita bersatu.
“Jadi pada pandangan peribadi saya, kita perlu terbuka dan mengalu-alukan mana-mana pihak yang mahu menyertai parti politik tempatan serta komited kepada empat teras perjuangan GRS,” katanya.



