HomeUtamaOperasi Bersepadu di Kunak: Tiga peniaga diambil tindakan, KKM keluar empat notis

Operasi Bersepadu di Kunak: Tiga peniaga diambil tindakan, KKM keluar empat notis

Read Time:1 Minute, 15 Second

KUNAK :  Tiga peniaga dikenakan tindakan undang-undang dalam satu operasi bersepadu yang dijalankan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Semporna.

Operasi itu turut dijalankan bersama Bahagian Penguatkuasa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Daerah Kunak.

Ketua Cawangan KPDN Semporna, Satunlucy Lamioh @ Lamidah berkata, operasi itu dilaksanakan susulan aduan pengguna yang diterima pihaknya dengan objektif memastikan pematuhan undang-undang perdagangan serta peraturan kesihatan di premis sekitar daerah Kunak.

Katanya, seramai lima pegawai KPDN, sembilan pegawai KKM dan enam pegawai Majlis Daerah Kunak terlibat dalam operasi berkenaan.

Menurutnya, pemeriksaan tertumpu kepada pasar raya, kedai runcit, restoran dan stesen minyak di sekitar kawasan tersebut.

“Hasil pemeriksaan mendapati tiga peniaga melakukan kesalahan di bawah Akta Timbang Sukat 1972, Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 serta Akta Perihal Dagangan 2011, dan tindakan undang-undang telah diambil oleh pihak KPDN.

“Dalam operasi sama, KKM turut mengeluarkan empat  notis atas pelbagai kesalahan berkaitan peraturan kesihatan, manakala dua kompaun telah dikeluarkan oleh Majlis Daerah Kunak atas kesalahan di bawah undang-undang kecil pihak berkuasa tempatan,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa pihaknya akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi memastikan peniaga mematuhi undang-undang yang berkuat kuasa serta melindungi hak pengguna.

Selain itu, pihaknya turut mengingatkan para peniaga supaya tidak melakukan sebarang penyelewengan terhadap barangan kawalan atau manipulasi harga yang boleh menjejaskan kepentingan pengguna.

“KPDN kekal komited dalam memastikan kestabilan bekalan, pematuhan harga dan mewujudkan persekitaran perdagangan yang adil demi kesejahteraan rakyat,” katanya. – SABAH MEDIA / FOTO KPDN SABAH

RELATED ARTICLES
Utama

MPI rancang program pembangunan bakat media di Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular