KOTA KINABALU: Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) meluahkan rasa kecewa selepas dikenakan kompaun parkir walaupun mendakwa dua kenderaan tanpa pelekat OKU dibiarkan menggunakan petak khas di Penampang.
Francis Xavier berkata, beliau terpaksa meletakkan kenderaan di petak parkir biasa berbayar selepas gagal mendapatkan ruang khas OKU yang didakwanya digunakan oleh individu bukan OKU.
“Saya mencari tempat letak kereta hampir 20 minit tetapi tidak menemui sebarang kekosongan kerana kesesakan dan satu-satunya petak OKU yang berhampiran dengan destinasi saya telah digunakan oleh individu bukan OKU,” katanya ketika dihubungi.
Francis yang tidak mempunyai kaki dan menggunakan kerusi roda untuk bergerak berkata, ruang parkir khas amat penting baginya bagi membolehkan beliau keluar dari kenderaan dan menaiki kerusi roda dengan selamat sebelum meneruskan urusan.
Menurutnya, beliau mempersoalkan tindakan penguat kuasa yang didakwa tidak mengambil tindakan terhadap dua kenderaan yang diparkir di petak OKU tanpa pelekat sah.
“Apabila saya pergi membayar kompaun dan bertanya kepada petugas, dimaklumkan pemilik kenderaan berkenaan hanya berada di situ untuk tempoh singkat.
“Saya berpusing hampir 20 minit dan meletakkan kenderaan di petak lain tidak sampai tempoh itu. Kereta saya jelas mempamerkan pelekat OKU tetapi saya tetap dikenakan kompaun, sedangkan dua kereta itu masih berada di situ tanpa sebarang saman,” dakwanya.
Francis berkata, insiden berkenaan bukan kali pertama berlaku kerana beliau pernah berdepan situasi sama sebelum ini, termasuk dikenakan saman walaupun mempamerkan pelekat OKU yang sah.
Bagaimanapun, katanya, saman tersebut dibatalkan selepas pegawai berkaitan memahami keadaan dan mengakui berlaku kesilapan.
“Ini bukan soal membayar kompaun, tetapi soal hak kami sebagai golongan OKU. Kami sudah berdepan pelbagai cabaran, namun masih ada yang mengambil kesempatan terhadap kemudahan yang diperuntukkan untuk kami,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa masyarakat agar lebih peka dan tidak menyalahgunakan petak parkir khas OKU, selain meminta pihak berkuasa melaksanakan penguatkuasaan secara adil, tegas dan berperikemanusiaan.



