Oleh Erdie Ab Wahid
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah memperuntukkan sebanyak RM3.1 juta untuk diagihkan kepada 51 persatuan sukan negeri yang berdaftar di bawah Pesuruhjaya Sukan sebagai geran tahunan bagi tahun 2026.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, peruntukan itu merupakan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkukuh pembangunan sukan di semua peringkat.
Beliau berkata, geran berkenaan akan disalurkan berdasarkan permohonan program yang dikemukakan persatuan dan tertakluk kepada Tatacara Penyaluran Geran Tahunan yang telah diluluskan oleh Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memastikan ketelusan serta integriti pengurusan dana.

“Selaku Menteri, saya menegaskan kepada semua persatuan sukan agar dapat menggunakan bantuan kewangan dari Kerajaan Negeri ini untuk melaksanakan program pembangunan atlet secara efisien dan bertanggungjawab.
” Jangan sesekali mensia-siakan jumlah peruntukan yang diberikan ini kerana wang yang dibelanjakan ini merupakan duit rakyat yang amat berharga.
“Oleh itu, saya menyeru kepada semua persatuan untuk merancang, meneliti dan melaksanakan program masing-masing dengan sepenuh komitmen. Saya mahu perbelanjaan yang telah dibuat ini dapat dikembalikan kepada kementerian ini dalam bentuk laporan yang sahih dan data yang boleh digunapakai untuk memajukan lagi mutu sukan di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Skim Insentif Kemenangan Sukan Kebangsaan dan Antarabangsa 2025 dan Majlis Penyerahan Geran Persatuan Sukan Negeri Sabah bagi tahun 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini pada Khamis.
Pada majlis sama, Nizam turut menyerahkan insentif kemenangan kepada atlet berjaya melibatkan peruntukkan keseluruhan berjumlah RM807,050.
Nizam berkata, insentif itu dipecahkan kepada dua pencapaian iaitu insentif kemenangan kebangsaan dan antarabangsa untuk sukan `able’ iaitu sebanyak RM269,850 dan insentif kemenangan untuk pencapaian atlet PARA iaitu sebanyak RM537,200.
Katanya, pemberian insentif kemenangan itu amat besar tetapi sangat berbaloi dibelanjakan oleh Kerajaan Sabah demi terus menarik minat dan penyertaan anak-anak muda Sabah, sejajar usaha Kerajaan untuk melahirkan ‘Atlet Bertaraf Dunia’.
“Dalam masa yang sama, kerajaan berharap penyertaan anak-anak muda dalam sukan juga dapat membina kehidupan mereka yang lebih berkualiti dan sihat.
“Ini kerana, sukan mampu membina sasiah anak-anak muda yang kukuh termasuk disiplin, semangat juang, kerjasama, ketrampilan dan semangat patriotik kepada negara.
“Inilah sebenarnya yang diharapkan oleh Kerajaan, kerana atlet dan anak-anak muda kita pada hari ini merupakan generasi yang akan memacu masa depan negeri dan negara ini,” katanya. – SABAH MEDIA



