Oleh J Evachel John
KOTA KINABALU: Seorang lelaki berusia 71 tahun didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini berhubung kes bunuh seorang wanita yang mayatnya ditemukan dalam keadaan dikerat di Indah Permai, Sepanggar.
Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh Piluta Samad yang dihadapkan di hadapan Majistret Dzul Elmy Yunus.
Pengakuan tertuduh hanya akan diambil di Mahkamah Tinggi selepas kes dipindahkan ke sana.

Piluta didakwa membunuh bekas tunangnya Hamidah Husin @Lisa, 44, pada 11 Februari 2026, di antara jam 6 petang hingga 7 malam, bertempat di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Sri Kenangan, Jalan Sepanggar.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun.
Sekiranya, tidak dijatuhkan hukuman mati, tertuduh boleh dikenakan sebatan tidak kurang daripada 12 kali bagi banduan lelaki berumur bawah 50 tahun, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Kareena Kaur Gill Karamjit Singh memohon satu tarikh sebutan baharu sementara menunggu laporan DNA, patalogi, forensik dan kimia. dan serta membantah sebarang jaminan diberikan kepada tertuduh.
Tertuduh yang bekerja sendiri tidak diwakili peguam.
Mahkamah kemudian menetapkan 15 April untuk sebutan semula kes dan memerintahkan tertuduh terus ditahan sementara menunggu kes selesai.
Terdahulu, media melaporkan dalam kejadian pada 12 Februari lalu di Taman Indah Permai, Sepanggar, seorang wanita berusia 44 tahun ditemui maut dengan bahagian badannya dikerat tujuh bahagian dan dibuang di beberapa kawasan pembuangan sampah.
Seorang lelaki berusia 71 tahun yang dipercayai tunang mangsa ditahan sebagai suspek utama. Tiga lagi individu yang juga anak kepada suspek, terdiri daripada seorang lelaki dan dua wanita, turut ditahan bagi membantu siasatan.
Setakat ini, dua anggota badan mangsa iaitu kaki kiri dan tangan kanan masih belum ditemui.



