PUTRAJAYA: Kerajaan Sabah mencadangkan supaya lesen majikan tidak diperbaharui sekiranya gagal menyediakan latihan sewajarnya kepada pekerja sebagai langkah tegas memperkasa pembangunan sumber manusia di negeri ini.
Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk James Ratib berkata, penyediaan latihan tidak lagi boleh dianggap sebagai pilihan, sebaliknya perlu dilihat sebagai satu tanggungjawab asas majikan.
Beliau berkata, ia bagi memastikan peningkatan produktiviti, daya saing industri dan kebolehpasaran pekerja.
“Budaya latihan berterusan perlu diperkukuh dalam sektor pekerjaan supaya setiap majikan memainkan peranan aktif dalam pembangunan kemahiran tenaga kerja, khususnya dalam mendepani perubahan teknologi dan tuntutan pasaran semasa,” katanya.

Beliau mencadangkan perkara itu ketika mengadakan kunjungan hormat ke atas Menteri Sumber Manusia, Ramanan Ramakrishnan, di sini pada Khamis.
Cadangan itu disambut baik oleh Ramanan yang menyifatkannya sebagai langkah progresif ke arah memperkukuh ekosistem pembangunan modal insan negara.
Dalam pertemuan sama, kedua-dua pihak turut membincangkan cadangan penubuhan sebuah ‘Rehab Centre’ Kementerian Sumber Manusia di Sabah sebagai pusat pemulihan, intervensi dan latihan semula bagi memperkasa tenaga kerja tempatan.
Inisiatif berkenaan dilihat berpotensi menjadi pemangkin kepada pembangunan kemahiran yang lebih tersusun dan menyeluruh di Sabah, sekali gus menyokong agenda transformasi ekonomi negeri.
Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia, Datuk Azman Yusof serta Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Antarabangsa), Dr. Mohd Shaharin Umar.
James berkata, pihaknya menegaskan komitmen untuk terus memperkukuh kerjasama strategik antara kerajaan negeri dan Persekutuan demi memastikan agenda pembangunan modal insan Sabah dilaksanakan secara inklusif, mampan dan berimpak tinggi selaras aspirasi negeri dan negara.



