HomeUtamaSICC tawar 850 hidangan, perkukuh potensi pelancongan gastronomi Sabah

SICC tawar 850 hidangan, perkukuh potensi pelancongan gastronomi Sabah

Read Time:1 Minute, 40 Second

KOTA KINABALU: Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) menampilkan sebanyak 850 hidangan bufet merangkumi menu Nusantara, sajian sunnah, makanan kampung serta pilihan Barat dan Cina sempena penganjuran Resipi Nusantara Asian Buffet Ramadan tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif SICC, Datuk Dr Rosmawati Lasuki, berkata kepelbagaian menu yang diketengahkan bukan sekadar menawarkan pengalaman berbuka puasa, malah memperkukuh potensi pelancongan gastronomi negeri.

“Konsep tahun ini memberi penekanan kepada kepelbagaian etnik Sabah melalui variasi makanan tradisi yang mencerminkan warisan budaya tempatan.

“Kita mahu menampilkan kepelbagaian etnik Sabah melalui makanan. Ini bukan sekadar bufet, tetapi usaha mempromosi dan memperkukuhkan pelancongan makanan serta menggerakkan rantaian ekonomi tempatan,” katanya ketika ditemui media selepas sesi pratonton bufet Ramadan di sini, pada Khamis.

Menurut beliau, pengalaman penganjuran kali ini juga akan dijadikan persediaan rapi menjelang Tahun Melawat Sabah 2027.

Tambahnya, bufet kali ini turut memperkenalkan konsep ‘farm-to-table’ dengan bahan mentah diperoleh terus daripada pembekal tempatan bagi memastikan kesegaran selain menyokong usahawan luar bandar.

“Apabila orang datang makan di sini, bukan sahaja SICC mendapat manfaat, tetapi petani dan pembekal tempatan juga menerima limpahan ekonomi.

“Kita memerlukan bekalan dalam kuantiti besar seperti beras, makanan laut dan sayur-sayuran, jadi secara langsung dan tidak langsung mereka turut meraih manfaat,” katanya.

Dalam pada itu, Rosmawati berkata lebihan makanan diurus secara sistematik bagi memastikan tiada pembaziran.

“Pengurusan sisa yang baik ini membolehkan kita menerima pengiktirafan daripada Asia Book of Records kerana mengekalkan kadar pembaziran pada tahap minimum,” jelasnya.

Sementara itu, Cef Masakan Melayu, Muhammad Hussin, berkata penyediaan 850 menu berkenaan memerlukan perancangan rapi selama kira-kira empat bulan dengan pasukan dapur memulakan persiapan seawal jam 2 pagi setiap hari.

“Untuk menu Melayu sahaja, kita ada tujuh chef yang memasak. Secara keseluruhan lebih 40 chef terlibat termasuk bahagian makanan Barat dan Cina.

“Ia memang satu cabaran, tetapi kita lakukan dengan penuh komitmen,” katanya.

Dalam majlis berkenaan, Rosmawati turut menyampaikan sumbangan kepada 88 pelajar tahfiz daripada Akademi Tahfiz An Nuur, Pusat Tahfiz Al-Mubarak dan Madrasah Darul Hadis Darsa sebagai sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat SICC.

RELATED ARTICLES
Utama

Polis siasat dakwaan konspirasi jatuhkan Kerajaan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular