PAPAR: Sabah dan Sarawak berpotensi memainkan peranan sebagai blok penentu dalam pembentukan Kerajaan Persekutuan sekiranya landskap politik semasa terus menyaksikan tiada gabungan tunggal memperoleh majoriti mudah secara bersendirian kata Ahli Parlimen Papar yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Ali.
Beliau yang mengulas hantaran bekas Ahli Parlimen Kota Belud, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak di laman facebooknya baru-baru ini yang menyentuh peranan Sabah dan Sarawak sebagai blok penentu dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Menurut beliau, realiti politik selepas PRU15 menunjukkan tiada lagi “single coalition” atau parti tunggal yang mampu membentuk kerajaan secara stabil tanpa kerjasama pelbagai parti.
“Kalau kita lihat keputusan PRU15 dan landskap politik hari ini, memang sudah tidak ada mana-mana parti atau gabungan tunggal yang boleh membentuk kerajaan secara bersendirian. Ia memerlukan gabungan pelbagai parti,” katanya ketika ditemui di program Sentuhan Kasih Advokasi Kepenggunaan dan Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) bagi DUN Kawang, Parlimen Papar di SMK Pengalat, di sini.
Menurut Armizan lagi, trend tersebut sebenarnya telah bermula lebih awal apabila parti-parti yang sebelum ini pernah memperoleh majoriti dua pertiga semakin kehilangan dominasi sehingga kemuncaknya pada PRU15 apabila tiada lagi gabungan tunggal yang mempunyai majoriti jelas.
Tambahnya dalam keadaan sedemikian, komposisi kerusi Parlimen dari Sabah dan Sarawak yang berjumlah kira-kira 56 kerusi secara keseluruhan menjadikan kedua-dua negeri itu signifikan dalam menentukan pembentukan kerajaan.
“Secara realiti, apabila tiada gabungan yang boleh membentuk majoriti mudah secara bersendirian, maka Sabah dan Sarawak boleh menjadi blok penting dan penentu,” katanya.
Bagaimanapun, Armizan menegaskan persoalan lebih besar ialah bagaimana Sabah dan Sarawak memanfaatkan kedudukan tersebut.
“Adakah kita sekadar menjadi pelengkap atau ‘passenger’ untuk menubuhkan kerajaan, atau kita mahu menjadi satu blok kuat yang bukan sahaja membantu membentuk kerajaan tetapi juga boleh menetapkan agenda kerajaan?” katanya.
Beliau berkata, Sarawak dilihat telah memulakan langkah membentuk kesatuan politik yang lebih tersusun dan kukuh dengan jumlah kerusi yang signifikan, manakala situasi di Sabah masih memerlukan penyatuan lebih jelas.
Dan rakyat sudah bersuara, rakyat sudah memutuskan pendekatan itu, tetapi pemimpin-pemimpin masih lagi belum bertindak ke arah itulah.
Jadi saya tidak layaklah untuk menasihatkan pemimpin-pemimpin lama sebab mereka ini jauh lebih berpengalaman, mereka ada wisdom yang luar biasa. Tetapi kalau boleh saya menasihatkan kepada orang-orang muda, pemimpin-pemimpin politik, supaya kita memberikan respons kepada suara rakyat Sabah dalam PRN negeri yang lepas untuk kita melihat ke depan.
Menurutnya, dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang lalu, majoriti rakyat negeri ini telah menunjukkan kecenderungan terhadap parti-parti tempatan, namun kesedaran itu perlu diterjemahkan kepada tindakan politik yang lebih tersusun dalam kalangan pemimpin.
“Untuk menjadi blok yang benar-benar kuat, kita perlu ada banyak kerusi dan bersatu. Kalau masih berpecah, blok itu tidak akan menjadi. Kita juga perlu berpendirian sendiri dan tidak sekadar menjadi penumpang kepada pihak lain,” katanya.
Beliau menambah, matlamat utama bukan sekadar menjadi penentu angka dalam pembentukan kerajaan, tetapi memastikan agenda dan kepentingan Sabah diberi keutamaan dalam pentadbiran negara katanya.



