KOTA KINABALU: Situasi banjir di Sabah terus membimbangkan apabila Tenom menjadi daerah paling terjejas dengan 5,246 penduduk daripada 1,741 keluarga yang dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) setakat jam 4 petang tadi.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah dalam kenyataan memaklumkan, secara keseluruhan seramai 6,910 penduduk daripada 2,282 keluarga terjejas akibat banjir di empat daerah iaitu Tenom, Beaufort, Membakut dan Sipitang.

Sebanyak 34 PPS masih beroperasi bagi menempatkan mangsa terjejas, dengan beberapa pusat di Tenom menunjukkan peningkatan jumlah mangsa.
Di Beaufort, 1,462 penduduk daripada 467 keluarga masih ditempatkan di PPS dengan keadaan dilaporkan kekal.
Di Membakut, jumlah mangsa menunjukkan penurunan kepada 202 penduduk daripada 74 keluarga, manakala Sipitang yang sebelum ini terjejas kini ditutup selepas 59 penduduk daripada 11 keluarga dibenarkan pulang.
Pihak berkuasa negeri terus memantau perkembangan semasa dan menyelaras bantuan bagi memastikan kebajikan mangsa terpelihara, selain menasihatkan penduduk di kawasan berisiko supaya sentiasa berwaspada terhadap perubahan cuaca.



