TAWAU : Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) meneruskan komitmen menyantuni masyarakat menerusi penganjuran Program Ramadan MADANI YAPEIM 2026 yang berlangsung di Surau An-Nur, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tawau, di sini pada Sabtu.
Penganjuran itu membuktikan keprihatinan YAPEIM terhadap keperluan masyarakat setempat khususnya golongan B40, anak yatim dan komuniti terpinggir yang memerlukan bantuan berterusan, terutama menjelang Ramadan dan Syawal.
Pengerusi Penglibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Swasta (PIBKS) Sabah Datuk Mohammad Arif Tun Sakaran berkata, program itu didasari kepada konsep berinfak bagi menyemarakkan budaya memberi dan berkongsi rezeki dikalangan masyarakat selaras dengan Tahun Infak YAPEIM.
“Saya melihat pelaksanaan program ini selaras dengan aspirasi MADANI dengan memperkukuh pembangunan rohani, memupuk keharmonian sosial serta menggerakkan peluang ekonomi inklusif yang adil dan berdaya tahan untuk semua lapisan masyarakat, ” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Ramadan MADANI YAPEIM 2026 di sini.
Arif berkata, secara keseluruhan sebanyak RM69,300 sumbangan diagihkan YAPEIM menerusi program itu melibatkan program iftar; program mMoreh di empat lokasi; program bersahur di empat lokasi; sumbangan kepada 300 pelajar; bantuan kemudahan / infra kepada Sekolah Kebangsaan Perdana; dan lain-lain kos pentadbiran.

“Saya amat berharap program yang dianjurkan YAPEIM pada hari ini dapat memberi manfaat kepada kesemua pihak khususnya penerima yang hadir dalam kalangan pelajar dan kumpulan sasar yang memerlukan perhatian dari kita semua,” katanya.
Beliau turut berharap lebih ramai individu atau agensi mula memberi sumbangan secara berkala kepada Tabung Amanah YAPEIM bagi membolehkan YAPEIM menyalurkan sumbangan yang diterima kepada lebih ramai penerima manfaat yang memerlukan. – SABAH MEDIA



