Oleh Normimie Diun
KOTA KINABALU: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) merancang akan menyusun semula struktur organisasinya bagi memperkemas gerak kerja serta mengukuhkan jentera parti.
Ketua Penerangannya, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, keputusan itu dipersetujui Majlis Tertinggi parti sebagai langkah strategik untuk memperkukuh peranan Gagasan Rakyat sebagai tunjang kepada kerajaan perpaduan negeri.
Menurutnya, cadangan penstrukturan semula itu termasuk kembali kepada pembahagian berasaskan kawasan Parlimen yang merangkumi beberapa Dewan Undangan Negeri (DUN), melibatkan kira-kira 26 bahagian termasuk Labuan.
“Langkah ini merupakan hala tuju penting bagi memperkukuh jentera parti serta memudahkan pelaksanaan aktiviti di peringkat akar umbi. Apabila parti bergerak secara tersusun, ia akan melengkapi keupayaan kerajaan dalam mentadbir negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Majlis Berbuka Puasa Bersama Pengamal Media di sini, pada Selasa.
Nizam yang juga Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah memaklumkan parti akan mengadakan Perhimpunan Agung Khas dalam masa terdekat bagi membincangkan hala tuju serta pengukuhan parti itu.
Dalam usaha memperkasa jentera penerangan, beliau berkata pihaknya merancang menganjurkan kursus kecerdasan buatan (AI) kepada jentera di seluruh Sabah, selain pertandingan pidato bagi mencungkil bakat baharu dalam kalangan pemimpin muda.
Tambahnya, kepimpinan parti akan terus memberi ruang kepada golongan muda untuk diketengahkan sebagai calon, selaras dengan prestasi memberangsangkan muka baharu pada pilihan raya lalu.
Bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) untuk kerusi Parlimen yang tidak lama lagi, Nizam menggesa pengamal media akan terus memainkan peranan lebih proaktif dalam menyampaikan maklumat sahih, tepat dan tidak mengelirukan kepada rakyat, sekali gus menangkis penyebaran dakyah.
“Sabah kini berada di landasan tepat menerusi pelaksanaan Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 pimpinan Datuk Seri Hajiji Noor yang diyakini mampu menangani pelbagai isu legasi serta meningkatkan kesejahteraan rakyat,” ujarnya.



