HomeUtamaSKG Green perkenal program lawatan pendidikan minyak sawit

SKG Green perkenal program lawatan pendidikan minyak sawit

Read Time:2 Minute, 21 Second

KOTA KINABALU: Pelajar dan pengunjung kini berpeluang memperoleh pendedahan secara langsung mengenai proses penghasilan minyak sawit menerusi program lawatan pendidikan yang dikendalikan oleh SKG Green Sdn Bhd sebagai sebahagian daripada penawaran pelancongannya.

Pelajar Kolej Vokasional Beaufort mempelajari cara membezakan antara buah kelapa sawit berkualiti baik dan kurang berkualiti.

Dikenali sebagai Sustainable Palm Oil Educational Tour, program ini mula diperkenalkan di Sandakan pada tahun 2024 dan kini diperluaskan bagi menyokong inisiatif eko-pelancongan serta pembelajaran yang semakin berkembang oleh SKG Green.

Ketua Pegawai Eksekutif SKG Green, Philipa Datuk Wilfred Mojilis berkata, program tersebut membolehkan peserta melawat ladang, kilang dan tapak semaian terpilih milik Sawit Kinabalu, sekali gus mempelajari keseluruhan kitaran pengeluaran minyak sawit, daripada peringkat anak benih dan pengurusan ladang hingga ke pemprosesan tandan buah segar.

Menurut beliau, syarikat itu baru-baru ini menerima kunjungan 29 peserta dari Kolej Vokasional Beaufort bagi menyertai lawatan pendidikan pertama di bawah kendalian SKG Green yang diadakan di Kilang dan Ladang Sawit Lumadan di pantai barat.

Katanya, sepanjang lawatan tersebut, para pelajar dibimbing secara berperingkat oleh pegawai Sawit Kinabalu yang menerangkan proses penghasilan minyak sawit, bermula daripada ketibaan tandan buah segar di kilang hingga penghasilan minyak sawit mentah.

“Sebahagian pelajar turut berpeluang mencuba mengangkat tandan buah segar ke dalam traktor, satu tugas yang didapati lebih mencabar daripada jangkaan.

“Walaupun kelihatan mudah, berat tandan tersebut memberi gambaran sebenar kepada pelajar mengenai tuntutan fizikal yang dihadapi oleh pekerja ladang setiap hari,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mojilis menambah, inisiatif ini bertujuan meningkatkan kesedaran dan pemahaman mengenai industri tersebut, khususnya dalam kalangan generasi muda.

“Program Sustainable Palm Oil Educational Tour membolehkan pelajar dan pengunjung menyaksikan sendiri bagaimana industri minyak sawit berfungsi, daripada operasi tapak semaian dan ladang hingga ke proses pengilangan.

“Ia juga merupakan sebahagian daripada usaha kami untuk memupuk kesedaran terhadap amalan mampan di samping menyediakan pengalaman pembelajaran yang bermakna dan bersifat praktikal,” katanya.

Di peringkat tapak semaian, peserta diperkenalkan dengan proses pemilihan dan penanaman anak benih kelapa sawit, dengan penekanan terhadap kepentingan penggunaan bahan tanaman berkualiti di seluruh ladang Sawit Kinabalu.

Lawatan pendidikan ini dijalankan di beberapa operasi terpilih Sawit Kinabalu di pantai timur dan barat Sabah, termasuk di Sandakan, Lahad Datu dan Beaufort.

Program ini turut melengkapkan penawaran eko-pelancongan sedia ada SKG Green di Kawasan Pemuliharaan Sungai Pin (SPnCA) di Kinabatangan, sekali gus memberi perspektif lebih menyeluruh mengenai landskap semula jadi dan pertanian Sabah.

Bagi lawatan sulung di bawah pengurusan SKG Green, satu pasukan yang diketuai oleh Eksekutif Kanan Jualan dan Pemasaran, Deveneau Daniel Jambun turut hadir bagi memantau pelaksanaan program serta mengenal pasti ruang penambahbaikan.

Seiring peningkatan minat daripada sekolah dan institusi, SKG Green berhasrat untuk menjadikan Program Lawatan Pendidikan ini sebagai platform pembelajaran, kesedaran dan penglibatan dalam salah satu industri utama Malaysia.

Program lawatan ini terbuka kepada sekolah, universiti serta kumpulan terancang, dengan pengaturan boleh dibuat melalui SKG Green Sdn Bhd.

RELATED ARTICLES
Utama

Eksport produk getah ke Amerika Selatan naik 13.7 peratus pada Januari...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular