KENINGAU: Seorang guru dari pedalaman Sabah membuktikan bahawa dedikasi dan inovasi mampu menembusi pentas antarabangsa apabila berjaya mengharumkan nama negara dalam bidang pendidikan.
Pendidik dari Sekolah Kebangsaan Bingkor, Dr Velerie Wheelervon Primus, sekali lagi mencipta kejayaan apabila disenaraikan pendek bagi Cambridge Dedicated Teacher Awards 2026, sekali gus menjadi pengiktirafan antarabangsa kedua yang diraihnya tahun ini.
Daripada lebih 12,000 pencalonan guru seluruh dunia, beliau berjaya menembusi senarai akhir, satu pencapaian membanggakan yang mengangkat nama Sabah dan Malaysia di mata global.
Mengimbas perjalanan tersebut, Dr Velerie menegaskan perubahan tidak perlu menunggu sistem, sebaliknya boleh dimulakan oleh individu yang berani mencuba.
“Saya tidak menunggu sistem untuk berubah. Saya memilih menjadi pencetus perubahan kerana setiap anak berhak mendapat sistem yang memahami mereka,” katanya kepada Sabah Media.
Menurut beliau, usaha itu bermula daripada sebuah kelas agama terbiar dan rumah guru yang usang, yang kemudiannya ditransformasikan menjadi Pusat Pembelajaran Multisensori.
Katanya, pusat tersebut dilengkapi bilik terapi, ruang sensori dan kemudahan digital, dibangunkan berasaskan prinsip bahawa pembelajaran hanya dapat berlaku apabila murid berasa selamat.
“Pembelajaran bermula apabila otak berasa selamat. Apabila emosi anak-anak stabil, potensi mereka akan lebih mudah digilap,” jelasnya.
Melalui pendekatan NeuroArts yang menggabungkan seni dan neurosains, beliau membantu murid autisme dan neurodivergen mencapai regulasi emosi, sekali gus membuka ruang pembelajaran yang lebih inklusif.
Lebih 100 murid telah menerima manfaat daripada pendekatan tersebut, bukan sahaja dari segi akademik, malah dari aspek keyakinan diri dan perkembangan emosi.
Usaha beliau turut diperluas melalui latihan, ceramah serta gerakan komuniti yang memberi impak kepada guru dan ibu bapa di seluruh negara dalam memperkukuh pendidikan inklusif.
Dalam tahun sama, Dr Velerie turut mencatat satu lagi pencapaian apabila disenaraikan sebagai Top 50 Finalist bagi Global Teacher Prize 2026, antara pengiktirafan tertinggi dalam dunia pendidikan.
Kejayaan itu membuktikan bahawa dari pedalaman Sabah, seorang guru mampu mencipta perubahan besar dan memberi inspirasi di peringkat dunia.
Ia sekali gus menjadi simbol bahawa inovasi dalam pendidikan tidak bergantung kepada kemewahan, sebaliknya lahir daripada keikhlasan, keberanian dan komitmen untuk memastikan setiap anak mendapat peluang yang adil untuk berjaya.



