HomeUtamaHospital IJN bertaraf dunia bakal dibangunkan di Sabah

Hospital IJN bertaraf dunia bakal dibangunkan di Sabah

Read Time:2 Minute, 3 Second

Oleh Normimie Diun

KOTA KINABALU: Sebuah hospital jantung bertaraf dunia bakal dibangunkan di Sabah susulan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kumpulan Yayasan Sabah dan Institut Jantung Negara (IJN), sekali gus memperkukuh akses rakyat negeri ini kepada rawatan kardiovaskular berkualiti tinggi.

Majlis menandatangani MoU itu disaksikan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, hari ini.

Melalui kerjasama strategik itu, hospital berkenaan akan dibangunkan di kawasan Likas di atas tapak seluas 10 ekar yang telah diwartakan khusus bagi tujuan tersebut.

Pengerusi Eksekutif Innoprise Corporation Sdn Bhd, Datuk Jasnih Daya berkata, pembangunan hospital tersebut merupakan inisiatif signifikan dalam meningkatkan akses rakyat Sabah kepada perkhidmatan kardiovaskular tanpa perlu ke Kuala Lumpur.

Katanya, ketika ini ramai pesakit jantung dari Sabah terpaksa mendapatkan rawatan di IJN Kuala Lumpur yang melibatkan kos perjalanan dan penginapan tinggi serta tempoh menunggu yang panjang.

“Pembukaan Hospital IJN di Sabah akan membantu mengurangkan beban kewangan pesakit dan keluarga, selain mempercepatkan akses kepada rawatan pakar.

“Ia penting bagi memastikan pesakit tidak hanya menerima rawatan pada peringkat lewat yang boleh meningkatkan risiko serta kos rawatan,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri sebelum ini telah menubuhkan Pusat Jantung Sabah di Hospital Queen Elizabeth II, namun kapasiti pusat itu masih terhad berbanding permintaan yang semakin meningkat.

Sementara itu, Pengerusi IJN, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, penyakit jantung kekal sebagai cabaran kesihatan utama negara yang memerlukan pendekatan lebih strategik dan bersepadu.

“Penyakit jantung terus menjadi antara penyumbang utama kematian di Malaysia, justeru sistem penyampaian kesihatan perlu diperkukuh agar lebih responsif, inklusif dan berdaya tahan,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan IJN, Prof. Dato’ Sri Dr. Mohamed Ezani Md Taib berkata, pihaknya komited memastikan kerjasama itu diterjemahkan kepada penyampaian perkhidmatan kesihatan berkualiti tinggi dan mampan di Sabah.

“Melalui inisiatif ini, IJN akan membawa kepakaran klinikal, teknologi dan sistem rawatan bagi memastikan perkhidmatan kardiovaskular memenuhi piawaian antarabangsa.

“Pada masa sama, penekanan turut diberikan kepada pemindahan ilmu dan pembangunan kapasiti tempatan,” katanya.

Selain pembangunan hospital, majlis itu turut menyaksikan pemeteraian MoU antara University College Sabah Foundation (UCSF) dan IJN University College bagi memperkukuh kerjasama dalam pendidikan serta latihan profesional kesihatan.

Kerjasama itu dijangka membuka peluang pembangunan modal insan tempatan serta melahirkan lebih ramai tenaga mahir dalam bidang perubatan dan kesihatan selaras dengan keperluan masa depan Sabah.

Pembangunan Hospital IJN di Sabah dijangka memberi manfaat besar kepada rakyat melalui peningkatan akses kepada rawatan jantung bertaraf dunia, pengurangan keperluan rujukan pesakit ke luar negeri serta penyediaan peluang pekerjaan dalam sektor kesihatan.

RELATED ARTICLES
Utama

Hak 40 peratus Sabah bukan untuk ditangguh, rundingan perlu diteruskan –...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular