Oleh Normimie Diun
KOTA KINABALU: Aura muzik yang menyentuh jiwa nyata merentasi sempadan apabila artis kumpulan popular Indonesia, Wali Band, melahirkan rasa teruja dengan sambutan luar biasa masyarakat Sabah yang berbilang bangsa dan agama, meskipun lagu-lagu yang dibawakan sarat dengan elemen kerohanian.


Lebih 3,000 penonton membanjiri Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) bagi menyaksikan Konsert Wali Live In Kota Kinabalu anjuran 25th Studio & Infinity Love Creative Ventures yang berlangsung Ahad lalu, sekali gus membuktikan pengaruh muzik mereka kekal utuh merentasi generasi.

Vokalisnya, Faank, berkata penerimaan tersebut di luar jangkaan mereka, terutama apabila keseluruhan penonton tanpa mengira latar belakang dilihat turut menyanyi bersama sepanjang persembahan.
“Alhamdulillah, kami sangat terharu. Walaupun masyarakat di Sabah terdiri daripada pelbagai kaum dan agama, semuanya menyanyi bersama.
“Itu yang membuatkan kami kagum. Muzik ini bersifat universal, tidak membezakan sesiapa,” katanya dalam sidang media selepas konsert.


Menurutnya, suasana yang tercipta di Kota Kinabalu memberikan pengalaman luar biasa kepada kumpulan itu, malah terasa seolah-olah berada di negara sendiri.
“Energi di sini sangat luar biasa, di luar ekspektasi kami. Sambutan yang baik dan sangat ramai penonton yang hadir,” katanya.
Sepanjang konsert hampir dua jam itu, Wali Band menghiburkan peminat dengan rangkaian lagu popular mereka termasuk Cari Berkah, Si Udin Bertanya, Nenekku Pahlawan, Emang Dasar, Kekasih Halal, Abatasa, Ada Gajah Di Balik Batu, Doaku Untukmu Sayang, Baik-Baik Sayang, Harga Diri, Dik, Tobat Maksiat, Yank, Aku Suci dan Cari Jodoh yang terus mendapat sorakan serta nyanyian bersama penonton.
Mengulas mengenai persembahan mereka, Faank menjelaskan elemen doa dan mesej kemanusiaan yang diselitkan dalam lagu-lagu Wali Band adalah sebahagian daripada identiti kumpulan tersebut.
Katanya, termasuk doa yang ditujukan kepada rakyat Palestin, ia disampaikan secara spontan sebagai tanda solidariti dan keprihatinan.
“Kalau Allah beri ilham, tidak mustahil kami akan hasilkan lagu khas berkaitan isu kemanusiaan seperti ini,” katanya.
Wali Band yang dianggotai Faank, Apoy, Tomi dan Ovie turut berkongsi keterujaan dapat kembali ke Sabah selepas perancangan terdahulu tidak dapat direalisasikan.
Menurut mereka, peluang beraksi di SICC kali ini bukan sahaja menebus kekecewaan lalu, malah membuka ruang untuk lebih dekat dengan peminat di negeri ini.
Selain persembahan, kumpulan itu turut memuji keindahan alam semula jadi Sabah serta layanan mesra yang diterima sepanjang berada di Kota Kinabalu.
“Kami rasa seperti di rumah sendiri. Pemandangan di sini sangat indah, makanannya juga luar biasa,” kata mereka.
Dalam pada itu, Wali Band turut merakamkan penghargaan kepada peminat, media serta semua pihak yang menjayakan konsert tersebut.
“Terima kasih atas sokongan yang diberikan. Sabah ini saudara kami, dan kami akan sentiasa cuba memberikan yang terbaik,” katanya.



