KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud mengadakan pertemuan bersama Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP), Datuk Johan Mahmood Merican bagi membincangkan perkembangan berkaitan hal ehwal Sabah, termasuk tuntutan 40 peratus hasil negeri itu.
Menerusi hantaran di Facebook semalam, beliau memaklumkan pertemuan berkenaan memberi tumpuan kepada usaha memperincikan hala tuju seterusnya susulan rundingan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah.
Menurutnya, meskipun proses perundangan berkaitan tuntutan itu masih berjalan, usaha ke arah memuktamadkan hak Sabah terus dilaksanakan melalui saluran rundingan dua hala.
Katanya, dalam pertemuan tersebut, KSP membentangkan perkembangan hasil mesyuarat terdahulu antara pihak Perbendaharaan bersama Kerajaan Sabah yang diwakili Setiausaha Kerajaan Negeri (SKN) dan Peguam Negeri Sabah sejak 17 November 2025.
Beliau berkata, pendekatan penyelesaian secara berperingkat akan menjadi fokus utama bagi memastikan hasil rundingan dapat dinikmati rakyat Sabah dalam tempoh terdekat.
Dalam pada itu, perbincangan turut menyentuh perkembangan ekonomi global termasuk kesan konflik di Timur Tengah yang memberi tekanan kepada ekonomi negara.
Menurutnya, Kementerian Kewangan akan terus memantau situasi semasa bagi memastikan kesiapsiagaan negara dalam berdepan cabaran ekonomi yang semakin mencabar.



