KENINGAU: Seramai 142 peserta dari seluruh Sabah menyertai Kursus Transformasi Penanaman Durian anjuran Jabatan Pertanian Sabah di Dewan Masyarakat Keningau, mencerminkan minat yang semakin meningkat terhadap industri tanaman durian di negeri ini.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar berkata, program itu merupakan sebahagian daripada inisiatif kementerian dalam memperluas pemindahan ilmu kepada petani dan usahawan tani di semua 26 daerah di Sabah.
Menurutnya, pelbagai kursus akan dilaksanakan sepanjang tahun meliputi tanaman durian, avokado serta bidang industri makanan bagi memperkasa keupayaan peserta dalam sektor agromakanan.
“Pada hari ini kita fokus kepada kursus tanaman durian di Keningau, tetapi di daerah lain kita juga akan laksanakan kursus avokado dan pelbagai kursus makanan.
“Ini adalah inisiatif Jabatan Pertanian untuk memastikan kita dapat memberikan ilmu kepada usahawan, petani dan penanam durian,” katanya ketika berucap pada program berkenaan, semalam.
Beliau berkata, peserta yang hadir terdiri daripada pelbagai daerah termasuk Pitas, Kota Kinabalu dan Papar.
Jamawi berkata, kementeriannya akan terus membantu penggiat industri termasuk dalam aspek pemasaran melalui kerjasama dengan persatuan berkaitan.
“Banyak usaha telah kita lakukan untuk memastikan produk yang dihasilkan dapat dipasarkan dengan lebih baik dan memberi pulangan kepada pengusaha,” katanya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan Keningau disasarkan sebagai lokasi pembangunan pusat pemprosesan hasil pertanian yang akan diusahakan pemain industri dengan bimbingan Jabatan Pertanian.
Katanya, usaha itu dijangka meningkatkan nilai tambah produk pertanian tempatan serta membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada penduduk setempat.
Selain itu, program Kebun Dapur akan diperluaskan melalui konsep mentor-mentee dengan penglibatan 23 mentor dalam pelbagai bidang termasuk tanaman durian dan penternakan ayam.
“Melalui pendekatan ini, mereka yang berpengalaman akan membimbing peserta secara berterusan supaya lebih ramai usahawan berjaya dapat dilahirkan,” katanya.
Menurut beliau, pendekatan itu juga dijangka dapat mengurangkan kebergantungan kepada subsidi selain memastikan hanya peserta yang benar-benar berpotensi diberi sokongan.
“Jika sebelum ini bantuan diberi tanpa penilaian menyeluruh, kali ini kita sasar sekurang-kurangnya 80 peratus peserta berjaya melalui sistem bimbingan yang lebih tersusun,” katanya.
Dalam aspek pembiayaan, Jamawi berkata Kerajaan Negeri turut bekerjasama dengan institusi kewangan termasuk Perbadanan Pinjaman Sabah bagi menyediakan kemudahan pinjaman sehingga RM30,000 tanpa faedah, selain skim pinjaman kadar rendah sekitar satu peratus melalui Agrobank.
Katanya, inisiatif itu bertujuan membantu peserta berpotensi menceburi industri pertanian secara komersial.
Sementara itu, kementerian juga akan melancarkan Jelajah Kebun Dapur bersempena Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah yang dijadual berlangsung pada 1 Mei di Papar.
“Orang ramai dijemput hadir untuk melihat sendiri pelbagai inisiatif di bawah program Kebun Dapur serta peluang yang ditawarkan dalam sektor pertanian,” katanya.
Jamawi menegaskan usaha berterusan dalam pendidikan dan bimbingan petani penting bagi memastikan sektor pertanian Sabah terus berkembang secara mampan.



