Oleh Erdie Ab Wahid
KOTA KINABALU : Sekolah Kebangsaan (SK) Simpangan Paitan yang rosak teruk akibat banjir sebelum ini akan dipindahkan ke lokasi baharu.
Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk James Ratib berkata, ketika ini, sesi persekolahan dipindahkan sementara di Dewan Terbuka, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Simpangan.
“SK Simpangan ini setiap tahun dilanda banjir dan baru-baru ini merupakan banjir yang paling besar menyebabkan hampir 90 peratus sekolah berkenaan tidak dapat diguna pakai.

“Dengan itu, kita telah pun memindahkan mereka ke Dewan Terbuka SMK Simpangan. Saya telah pun berbincang dengan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) supaya kita menempatkan pelajar-pelajar ini di tempat yang sesuai,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Sabah Media pada Majlis Konvokesyen Kolej Vokasional Kementerian Pendidikan Malaysia Ke-10 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini pada Khamis.
Sekolah berkenaan tular di media sosial selepas dilaporkan sekumpulan pelajar mengikuti sesi pembelajaran dalam persekitaran yang tidak selesa dan tidak kondusif.
Para pelajar dilihat belajar di ruang terbuka yang hanya dilindungi dengan jaring hitam dibawah atap zink sebagai teduhan.
Dalam cuaca panas, situasi ini bukan sahaja menjejaskan keselesaan, malah boleh memberi kesan kepada tumpuan dan kesihatan murid.
James berkata, usaha sedang dijalankan untuk mencari penyelesaian jangka panjang termasuk cadangan memindahkan sekolah ke kawasan yang lebih selamat daripada risiko banjir.
“Pelajar sekolah berkenaan semua ditempatkan tempat yang selamat. Kita tengah berurusan dengan pihak JPN bagaimana cara untuk mengatasi masalah ini dengan segera. InsyaAllah kita akan bina baru,” katanya.
Sekolah berkenaan mempunyai 194 orang pelajar; 15 guru dan enam Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP). – SABAH MEDIA



