KUALA LUMPUR, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menegaskan kedudukan Malaysia sebagai pemain penting dalam rantaian bekalan global, khususnya dalam sektor pertahanan dan aeroangkasa
Berucap ketika merasmikan Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan National Security Asia (NATSEC) 2026, beliau berkata landskap geopolitik dunia yang semakin kompleks kini mempengaruhi keputusan pelaburan dan rantaian bekalan global.
Menurut beliau, walaupun ketegangan global termasuk konflik di Asia Barat memberi kesan kepada pasaran dunia, Malaysia terus mencatat prestasi ekonomi yang kukuh, termasuk pertumbuhan 5.2 peratus tahun lalu serta aliran masuk pelaburan asing yang memberangsangkan.
“Malaysia kekal menjadi pilihan pelabur global, didorong oleh sektor pembuatan, semikonduktor dan aeroangkasa yang semakin berkembang,” katanya.
Perdana Menteri turut menekankan keupayaan syarikat tempatan yang kini terlibat dalam pengeluaran komponen kritikal termasuk struktur sayap pesawat dan komponen enjin aero bertaraf dunia, selain penglibatan dalam rantaian bekalan cip yang digunakan dalam sistem pertahanan moden.
Dalam pada itu, beliau menggesa syarikat pertahanan antarabangsa untuk meneroka kerjasama dengan pengeluar tempatan, yang menurutnya memiliki standard ketepatan dan akauntabiliti setanding pemain global.
“Malaysia mengamalkan dasar berkecuali aktif, membolehkan kita menjalin hubungan dengan pelbagai rakan strategik tanpa komplikasi politik yang sering menjejaskan keputusan perolehan di negara lain,” katanya.
Mengulas peranan kerajaan, Anwar memberi jaminan bahawa aspek perlindungan harta intelek, penguatkuasaan kawalan perdagangan strategik serta kepastian kontrak akan terus diperkukuh bagi mewujudkan persekitaran pelaburan yang stabil dan diyakini.
Beliau turut menyentuh kepesatan perkembangan teknologi seperti kecerdasan buatan, sistem autonomi dan keupayaan siber, yang memerlukan kerangka tadbir urus yang lebih mantap serta kerjasama erat antara kerajaan dan industri.
“Perbincangan paling penting bukan hanya di pentas ini, tetapi dalam interaksi antara pemain industri yang akan membentuk masa depan sektor ini,” katanya.
DSA & NATSEC Asia 2026 menghimpunkan pemain industri pertahanan dan keselamatan dari seluruh dunia, sekali gus mengukuhkan peranan Malaysia sebagai hab strategik di rantau ini.



