KUALA LUMPUR, – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) terus memperkukuh penyelarasan dasar pendidikan tinggi negara melalui penganjuran mesyuarat bersama Menteri dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Pendidikan dan Pendidikan Tinggi Negeri.
Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir itu menjadi platform strategik bagi merapatkan kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri dalam memastikan pelaksanaan dasar pendidikan tinggi lebih berkesan dan selaras di semua peringkat.
Turut hadir dalam mesyuarat berkenaan ialah wakil kerajaan negeri termasuk Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk James Ratib; Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, Datuk Seri Ir. Mohd Soffi Abd Razak; Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor, Aznan Tamin; serta Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Melaka, Datuk Rahmad Mariman.
Menurut KPT, mesyuarat ini antara lain bertujuan menghebahkan Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035 bagi memastikan kerajaan negeri memperoleh pemahaman yang jelas mengenai dasar, strategi dan keutamaan pembangunan sektor berkenaan.
Selain itu, perbincangan turut memberi fokus kepada hala tuju pendidikan tinggi negara termasuk perkembangan dan isu semasa di peringkat nasional dan antarabangsa, sekali gus membantu memperkemas pelaksanaan dasar di peringkat negeri.
Mesyuarat tersebut juga menjadi medan mendapatkan maklum balas serta cadangan daripada kerajaan negeri, khususnya berkaitan cabaran pelaksanaan dan potensi kerjasama strategik antara kedua-dua pihak.
KPT menegaskan, inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan dalam membangunkan ekosistem pendidikan tinggi yang lebih responsif, berdaya saing dan mampan, termasuk memperkukuh kerjasama dalam pembangunan bakat, penyelidikan, inovasi serta kebolehpasaran graduan selaras dengan aspirasi pembangunan negara.
Turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abd Halim; Ketua Setiausaha KPT, Datuk Dr. Anesee Ibrahim serta barisan pengurusan tertinggi kementerian.



