SIPITANG: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sabah meneruskan tindakan penguatkuasaan terhadap pendatang asing tanpa izin (PATI) di sekitar kawasan tanggungjawab Pejabat Imigresen Daerah Sipitang.
Dalam operasi yang dilaksanakan di empat (4) premis, seramai 19 individu ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.
Operasi yang dilaksanakan pada 23 April 2026 itu melibatkan lapan pegawai penguat kuasa daripada Pejabat Imigresen Sipitang dengan sokongan JIM Sabah.
“Hasil pemeriksaan ke atas 41 individu, 19 orang PATI berjaya ditahan, melibatkan warganegara Indonesia dan Filipina, yang dipercayai berada dan bekerja tanpa dokumen sah di kawasan terbabit.
“Kesemua individu yang ditahan didapati tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah atau pas yang sah, dan akan disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) serta Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” menurut JIM Sabah dalam satu kenyataan.
JIM Sabah menegaskan bahawa tindakan tegas akan terus diambil terhadap mana-mana individu atau pihak yang melindungi atau menggaji pendatang asing tanpa izin (PATI).
Pada masa sama, orang awam diseru untuk menyalurkan maklumat berkaitan kehadiran warga asing tanpa izin bagi membantu operasi penguatkuasaan.
“Tiada sebarang kompromi akan diberikan terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang, khususnya yang melibatkan isu keselamatan,” tambah kenyataan itu.



