HomeUtamaDUN Sabah: Lima daerah dikenal pasti sebagai Lembah Pengeluaran Makanan

DUN Sabah: Lima daerah dikenal pasti sebagai Lembah Pengeluaran Makanan

Read Time:1 Minute, 20 Second

Oleh J Evachel John

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri melalui Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA) mengenal pasti lima daerah sebagai Lembah Pengeluaran Makanan bagi memperkukuh sekuriti makanan serta mengurangkan kebergantungan kepada import.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata daerah terlibat ialah Keningau, Tenom, Nabawan, Tongod dan Tambunan yang dikenal pasti melalui Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA) akan dibangunkan sebagai pusat pengeluaran makanan berskala besar.

“Inisiatif ini bertujuan mengoptimumkan penggunaan tanah negeri untuk pengeluaran makanan berskala besar bagi menstabilkan bekalan untuk pasaran tempatan,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Seri Shafie Apdal (Warisan-Senallang) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada Isnin.

Hajiji turut memberi contoh pelaksanaan projek berimpak tinggi seperti Pusat Ternakan Bersepadu Keningau (KILC), yang memberi tumpuan kepada penternakan lembu pedaging untuk pasaran tempatan.

“Selain itu, Sabah Livestock Dairies Breeders Sdn. Bhd. di daerah Sook turut memberikan tumpuan kepada penternakan lembu tenusu.
“Usaha-usaha ini dijangka dapat mengurangkan kebergantungan kepada import daging dan produk tenusu, serta menstabilkan harga pasaran,” katanya.

Hajiji berkata tumpuan kepada aspek sekuriti makanan merupakan sebahagian daripada usaha menangani kesan jangka sederhana dan panjang kenaikan kos sara hidup, memandangkan kesan paling ketara dirasai melalui harga makanan.

Beliau berkata di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13), sebanyak RM102,860,557 diperuntukkan bagi pelaksanaan projek berkaitan keterjaminan makanan.

“Fokus utama adalah untuk meningkatkan pengeluaran hasil pertanian, ternakan, dan perikanan bagi mengurangkan kebergantungan terhadap bahan import yang sering terdedah kepada turun naik harga global.

“Matlamat akhir adalah untuk meningkatkan Tahap Sara Diri (SSL) dan memastikan ketersediaan bekalan makanan yang stabil dan mencukupi dalam apa jua keadaan ekonomi,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

DUN Sabah: Sabah perkasa pendekatan isi rumah hadapi kos sara hidup

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular