HomeUtamaDUN Sabah: Hampir RM18 juta diperuntuk selenggara lampu jalan Persekutuan di Sabah...

DUN Sabah: Hampir RM18 juta diperuntuk selenggara lampu jalan Persekutuan di Sabah tahun ini

Read Time:1 Minute, 15 Second

Oleh J Evachel John

KOTA KINABALU: Peruntukan bagi penyelenggaraan lampu jalan Persekutuan di seluruh Sabah bagi tahun 2026 telah ditingkatkan kepada RM17.95 juta.

Pembantu Menteri Kerja Raya dan Utiliti Sabah, Datuk Limus Jury berkata, peruntukan itu disalurkan oleh Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kerja Raya (KKR) Malaysia berdasarkan keutamaan dan keperluan semasa.

“Bagi tahun 2024 dan 2025, sejumlah RM8 juta setahun telah diperuntukkan dan dibelanjakan bagi kerja-kerja penyelenggaraan serta pembaikan lampu jalan di seluruh Sabah.

“Manakala bagi tahun 2026, peruntukan telah ditingkatkan kepada RM17.95 juta. Ini menunjukkan komitmen berterusan Kerajaan amat serius dalam menangani isu lampu jalan yang tidak berfungsi,” katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini.

Beliau menjawab soalan mengenai jumlah peruntukan yang telah disalurkan untuk penyelenggaraan lampu jalan Persekutuan di seluruh Sabah dan adakah kerajaan Sabah bersedia untuk menampung kos itu sendiri memandangkan masih banyak lampu jalan tidak berfungsi.

Limus berkata kerja-kerja penyelenggaraan dan penambahbaikan dilaksanakan secara berperingkat dan berfokus dengan keutamaan diberikan kepada kawasan berisiko kemalangan, lokasi gelap yang menjejaskan penglihatan pengguna serta aduan awam yang telah diperiksa dan disahkan.

Beliau memaklumkan lampu jalan di jalan Persekutuan merupakan aset milik Kerajaan Persekutuan dan penyelenggaraannya adalah dibiayai sepenuhnya melalui peruntukan Persekutuan.

“Sehubungan itu, isu penanggungan kos oleh kerajaan Negeri adalah tidak berbangkit,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan akan terus diperkukuh bagi memastikan penyelarasan pelaksanaan lebih berkesan.

“Kementerian akan terus memohon peruntukan tambahan dari semasa ke semasa bagi memastikan keberkesanan tahap perkhidmatan demi keselamatan pengguna jalan raya,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Pegawai RISDA bebas 6 tuduhan rasuah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular