Oleh Normimie Diun
PAPAR: Projek menaik taraf Jalan Lok Kawi dari Bulatan Sabindo ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kinarut akan dilaksanakan serta-merta dengan tempoh pembinaan selama dua tahun bermula 30 Mac 2026 hingga 29 Mac 2028.
Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, Surat Setuju Terima (SST) kepada kontraktor bagi projek berkenaan telah diserahkan secara rasmi hari ini.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan taklimat status projek-projek infrastruktur utama Parlimen Papar, di sini, hari ini.
Menurutnya, projek berkenaan melibatkan naik taraf jalan dua lorong kepada empat lorong dua hala, pembinaan jejantas pejalan kaki, pemasangan lampu jalan dan lampu isyarat serta penaiktarafan tiga bulatan kepada persimpangan berlampu isyarat.
“Turut melibatkan pembinaan perhentian bas, hentian motosikal, laluan berbumbung ke sekolah serta kerja pengalihan utiliti dan pengambilan tanah,” katanya.
Armizan yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup berkata, projek itu dibiayai oleh Kementerian Kerja Raya Malaysia dan dilaksanakan di bawah seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah.
Dalam pada itu, beliau menegaskan keperluan penyelarasan rapi antara agensi kerajaan negeri dan Persekutuan bagi memastikan pelaksanaan projek berjalan lancar mengikut jadual.
Katanya, antara isu kritikal yang perlu diselesaikan segera ialah pengambilan balik tanah melibatkan 43 lot serta 24 struktur sedia ada, selain pengalihan utiliti seperti bekalan elektrik, air dan telekomunikasi.
“Saya tidak mahu kelewatan dalam perkara asas ini menjejaskan pelaksanaan kerja fizikal projek,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa projek itu merupakan antara empat projek infrastruktur utama yang dibincangkan dalam sesi libat urus melibatkan wakil rakyat, Pejabat Daerah serta agensi berkaitan di peringkat daerah, negeri dan Persekutuan.
Tiga lagi projek ialah pembinaan Bypass Pengalat–Papar yang kini di peringkat persiapan tender, pembinaan SMK Gana Papar (persiapan tender) serta cadangan pembinaan Jambatan Papar 2 di KM20.4.
Armizan berkata, beliau telah terlibat dalam usaha mendapatkan peruntukan projek berkenaan sejak tahun 2021 ketika berkhidmat di Pejabat Ketua Menteri Sabah.
Katanya, projek itu dimasukkan dalam senarai pembangunan Persekutuan pada 2023 sebelum diumumkan pelaksanaannya oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika lawatan ke Kinarut pada 31 Mei 2023.



