HomeUtamaJual ubat tanpa preskripsi: Pengurus, ahli farmasi didenda

Jual ubat tanpa preskripsi: Pengurus, ahli farmasi didenda

Read Time:1 Minute, 15 Second

KOTA KINABALU: Seorang pengurus dan seorang ahli farmasi berdaftar masing-masing didenda oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas kesalahan berbeza berhubung penjualan ubat terkawal tanpa preskripsi daripada pengamal perubatan berdaftar.

Hakim Hurman Hussain menjatuhkan denda RM3,000 atau dua bulan penjara terhadap pengurus farmasi, Mary M, manakala ahli farmasi berdaftar, Bui KJ didenda RM4,000 atau penjara tiga bulan jika gagal membayar denda tersebut.

Mahkamah menjatuhkan hukuman itu selepas kedua-dua tertuduh mengaku bersalah terhadap pertuduhan masing-masing.

Mary, 47, mengaku menjual ubat mengandungi racun Amlodipine, manakala Bui, 44, mengaku gagal memastikan transaksi penjualan itu dijalankan di bawah penyeliaanya.

Amlodipine merupakan ubat untuk rawatan hipertensi yang dibekalkan dengan preskripsi sah yang dikeluarkan oleh pengamal perubatan berdaftar menurut Seksyen 21(1)(c) Akta Racun 1952.

Kedua-dua kesalahan itu dilakukan di Sunlight Pharmacy (KK) Sdn Bhd di Jalan Pantai di sini pada 14 Februari 2024.

Mereka didakwa melanggar Perenggan 21(1)(c) Akta Racun 1952 dan kesalahan di bawah Subseksyen 16(5) akta sama, yang boleh dihukum mengikut Seksyen 32(2) akta berkenaan.

Kesalahan itu memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Jika mahkamah berpendapat pelanggaran dilakukan secara sengaja atau cuai sehingga boleh mengancam atau berkemungkinan membahayakan nyawa manusia, tertuduh boleh dikenakan denda tidak melebihi RM200,000 atau penjara tidak melebihi sepuluh tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pegawai pendakwa dari Cawangan Penguatkuasaan Farmasi Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, Saifullah Al-Mujahidi Mohamad Uda mengendalikan pendakwaan bagi kedua-dua kes.

RELATED ARTICLES
Utama

Pengeluaran limau tempatan berpotensi kurangkan kebergantungan import

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular