HomeUtamaKerajaan Sabah perkasa keselamatan di ESS Zone guna teknologi canggih

Kerajaan Sabah perkasa keselamatan di ESS Zone guna teknologi canggih

Read Time:2 Minute, 13 Second

LAHAD DATU: Kerajaan negeri terus memperkukuh aspek keselamatan di Zon Selamat Sabah Timur (ESS Zone) dengan penggunaan teknologi canggih termasuk kecerdasan buatan (AI) bagi memastikan kestabilan yang menjadi asas kepada pertumbuhan ekonomi Sabah.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, usaha pemodenan aset keselamatan akan terus dipertingkatkan melalui penggunaan dron, radar serta analisis data raya (big data) bagi memperkukuh keupayaan pemantauan dan mempercepatkan tindak balas terhadap sebarang ancaman.

“Seiring dengan kerangka Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0, kita mahu agensi keselamatan memperkasakan penggunaan AI dalam operasi supaya sistem keselamatan kita bukan sahaja kukuh secara fizikal, tetapi juga dari segi digital,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Jelajah SMJ sempena Lawatan Tinjauan Keselamatan Ketua Menteri ke ESS Zone di Dewan Perdana di sini, pada Rabu.

Hajiji menegaskan aspek keselamatan merupakan prasyarat utama dalam memastikan kelancaran pembangunan ekonomi serta menarik keyakinan pelabur ke negeri ini.

“Tanpa jaminan keselamatan yang kukuh, keyakinan pelabur akan terjejas, aktiviti ekonomi terbantut dan kesejahteraan rakyat turut terkesan,” katanya.

Menurutnya, pembangunan di kawasan ESS Zone akan dilaksanakan secara holistik dengan mengimbangi keperluan keselamatan serta pembangunan ekonomi dan sosial.

Beliau berkata, sektor maritim dan Ekonomi Biru dikenal pasti sebagai pemacu pertumbuhan baharu di bawah SMJ 2.0, merangkumi industri perikanan moden, pelancongan marin serta pembangunan bandar pesisir dan sempadan.

Bagaimanapun, katanya, potensi besar itu hanya mampu direalisasikan sekiranya keselamatan perairan negeri terus diperkukuh tanpa kompromi.

“Sabah mempunyai kedudukan strategik dengan garis pantai melebihi 1,400 kilometer dan bertindak sebagai barisan hadapan negara di Borneo serta Laut Sulu. Pengukuhan keselamatan bukan sahaja melindungi rakyat, tetapi membuka ruang kepada pembangunan bandar sempadan sebagai pintu ekonomi baharu negeri,” katanya.

Dalam konteks Lahad Datu, Hajiji berkata daerah itu mempunyai potensi ekonomi yang besar khususnya dalam sektor perladangan, perikanan, pelancongan dan industri hiliran.

Namun, jelasnya, semua potensi tersebut hanya dapat direalisasikan sepenuhnya sekiranya persekitaran kekal selamat dan stabil.

“Pelabur hanya akan datang jika yakin keselamatan perairan kita terjamin,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan tanggungjawab menjaga keselamatan bukan hanya terletak kepada pasukan keselamatan semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama semua pihak termasuk masyarakat setempat.

Beliau turut menyeru rakyat khususnya di kawasan ESS Zone supaya sentiasa peka dan segera melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan kepada pihak berkuasa.

“Peranan komuniti amat penting sebagai rakan strategik kepada pasukan keselamatan dalam memastikan keamanan terus terpelihara,” katanya.

Hajiji turut memberi jaminan bahawa kebajikan anggota keselamatan akan terus dipelihara melalui kerjasama kerajaan negeri dan Persekutuan, termasuk dari segi kemudahan, perumahan dan logistik.

Katanya, sinergi semua pihak akan terus diperkukuh bagi memastikan ESS Zone kekal aman dan terkawal.

Beliau berkata, lawatan tinjauan keselamatan itu menjadi platform penting untuk menilai kekuatan serta kelemahan sedia ada sebelum penambahbaikan dilakukan demi memperkukuh keselamatan negeri.

RELATED ARTICLES
Utama

KM turun padang pantau kemajuan Projek Pan Borneo

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular