KOTA KINABALU : Kumpulan Yayasan Sabah mencipta pencapaian bersejarah apabila merekodkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM683 juta bagi tahun 2025, meningkat 17 peratus berbanding RM586 juta pada tahun sebelumnya.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, prestasi memberangsangkan itu membuktikan keupayaan pengurusan serta komitmen seluruh warga Kumpulan Yayasan Sabah dalam memacu pertumbuhan organisasi.
Beliau berkata, Innoprise Corporation Sdn Bhd (ICSB), selaku cabang pelaburan Kumpulan Yayasan Sabah, turut mencatat rekod keuntungan tertinggi dalam sejarah syarikat apabila merekodkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM243 juta berbanding RM179 juta pada tahun sebelumnya.
“Pencapaian ini jelas membuktikan bahawa keupayaan pengurusan serta komitmen seluruh pasukan telah menghasilkan prestasi yang sangat cemerlang. Syabas saya ucapkan,” katanya.
Teks ucapan beliau disampaikan Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam pada Malam Anugerah Yayasan Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pada Rabu.

Hajiji yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah berkata, ICSB turut mengisytiharkan dividen berjumlah RM160 juta pada tahun 2025, meningkat tujuh peratus berbanding RM150 juta pada tahun sebelumnya.
Katanya, jumlah itu merupakan rekod pembayaran dividen tertinggi dalam sejarah ICSB, selain mengekalkan kedudukannya sebagai syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Sabah yang membayar dividen tertinggi selama lima tahun berturut-turut.
“Kita optimis prestasi ini akan terus melonjak pada tahun 2026 selaras dengan kedudukan kewangan yang kukuh dan prospek perniagaan yang positif,” katanya.
Menurut beliau, kejayaan itu disokong oleh prestasi kukuh pelbagai sektor dalam Kumpulan Yayasan Sabah termasuk sektor agro-perladangan yang kekal menjadi penyumbang utama dengan keuntungan gabungan RM323 juta.
Selain itu, sektor pelancongan dan riadah mencatat keuntungan RM65 juta, manakala sektor minyak, gas dan tenaga menunjukkan peningkatan ketara dengan keuntungan RM40 juta berbanding hanya RM0.07 juta pada tahun 2024.
Dalam pada itu, Hajiji berkata, Kumpulan Yayasan Sabah terus memainkan peranan penting sebagai jentera strategik kerajaan negeri menerusi pelbagai program pembangunan pendidikan, modal insan, sosioekonomi, konservasi dan penyelidikan.
Katanya, Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) yang merupakan sebahagian daripada Pelan Strategik Transformasi Kumpulan Yayasan Sabah telah memberi manfaat kepada 15,629 pelajar melibatkan dana RM25.1 juta.
Beliau berkata, usaha agresif kutipan pinjaman pendidikan pada tahun 2025 turut mencatat sejarah tersendiri apabila mencapai RM8.03 juta, tertinggi sejak Yayasan Sabah ditubuhkan.
“Pencapaian ini menunjukkan peningkatan sebanyak 22.4 peratus berbanding rekod tertinggi sebelum ini iaitu RM6.6 juta.
“Gabungan kutipan bayaran balik pinjaman dan TPNS membantu menyediakan dana bagi memenuhi komitmen pendidikan Kumpulan Yayasan Sabah,” katanya.
Dalam aspek pembangunan masyarakat pula, sebanyak 613 program sosial berjaya dilaksanakan menerusi enam Pejabat Zon dengan kadar pencapaian 100 peratus, memberi manfaat kepada 78,648 penerima melibatkan peruntukan RM4.26 juta.
Hajiji turut memaklumkan bahawa University College Sabah Foundation (UCSF) kini mencatat enrolmen melebihi 1,100 pelajar selain memperkenalkan kursus inovatif bermula tahun ini.
Katanya, UCSF juga aktif memperkukuh jaringan antarabangsa menerusi kerjasama dengan institusi pengajian tinggi dari Brunei Darussalam, Bosnia, Turki, Azerbaijan, Indonesia, Filipina dan United Kingdom.
Sementara itu, Kolej Teknologi Yayasan Sabah (KTYS) menerima mandat berjumlah RM1.2 juta daripada Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) untuk melatih 460 peserta menerusi Program Khas Anak Negeri (PKAN).
Beliau berkata, dua projek baharu turut diperkenalkan iaitu Projek Rintis Akademik Sekolah Menengah dan Gerakan Ekonomi Makanan Inovasi Laut (GEMILAU).
Dalam usaha memelihara khazanah alam negeri, Hajiji berkata Kumpulan Yayasan Sabah turut memperkukuh kerjasama bersama Preferred by Nature (PbN), Denmark bagi Pelan Pengurusan Strategik Ketiga Kawasan Konservasi Lembangan Maliau.
Katanya, langkah itu mencerminkan kesungguhan Yayasan Sabah dalam memastikan pemuliharaan alam sekitar terus diperkasa demi generasi masa depan.
Sempena ulang tahun ke-60 Yayasan Sabah pada 10 Mei ini, Hajiji menyeru agar institusi itu terus menjadi pelopor dalam melahirkan modal insan berilmu, berintegriti dan berkemahiran tinggi selaras dengan aspirasi Hala Tuju Sabah Maju Jaya 2.0.



