HomeSukan17 peserta tamat kursus kejurulatihan futsal AFC Tahap 1 di Sabah

17 peserta tamat kursus kejurulatihan futsal AFC Tahap 1 di Sabah

Read Time:2 Minute, 4 Second

KOTA KINABALU : Seramai 17 peserta terdiri daripada 14 lelaki dan tiga wanita berjaya menamatkan Kursus Sijil Kejurulatihan Futsal Tahap 1 Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) di sini, sekali gus menandakan siri kesepuluh penganjuran kursus berkenaan di Sabah.

Program yang disertai peserta berusia lingkungan 20 hingga 40-an itu turut melibatkan seorang peserta dari Brunei dan dilihat sebagai langkah berterusan memperkukuh pembangunan futsal akar umbi di negeri ini.

Berdasarkan rekod, Sabah kini mempunyai kira-kira 150 jurulatih Tahap 1, 40 jurulatih Tahap 2 dan hanya seorang jurulatih Tahap 3, iaitu tahap tertinggi dalam sistem kejurulatihan futsal AFC.

Ketua Instruktor kursus, Azman Soaibah yang mewakili Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Asian Football Confederation (AFC), berkata laluan pembangunan jurulatih futsal dilaksanakan secara berperingkat bermula Tahap 1 hingga Tahap 3.

Menurut beliau, Tahap 3 memberi penekanan lebih menyeluruh melibatkan elemen kecergasan dan teknikal lanjutan, manakala Tahap 1 memfokuskan asas kejurulatihan.

Beliau turut memaklumkan baru sahaja menamatkan kursus Tahap 3 tahun ini dan kini menjadi antara segelintir jurulatih di Malaysia yang memiliki kelayakan tersebut.

Azman berkata, pendidikan futsal di peringkat awal penting bagi melahirkan pemain berkualiti sejak usia muda, seiring pembangunan futsal di negeri-negeri lebih maju seperti Selangor dan Kuala Lumpur.

Katanya, Sabah mempunyai ramai pemain berbakat termasuk pemain kebangsaan seperti Safar Mohammad dan Iwan Bakri selain pencapaian memberangsangkan dalam temasya Sukan Malaysia (SUKMA) sebelum ini.

Perkembangan itu dilihat memberi petanda positif menjelang SUKMA 2026 yang dijadual berlangsung di Sabah tahun depan.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Shamsuddin Mohd Shah berkata pembangunan futsal memerlukan kerjasama pelbagai pihak termasuk persatuan, agensi kerajaan, institusi pendidikan, komuniti serta jurulatih di peringkat akar umbi.

Menurut beliau, komitmen jurulatih berkualiti amat penting dalam usaha melahirkan lebih ramai pemain berbakat dan berdaya saing.

Beliau berharap semua peserta kursus terus aktif menyumbang kepada pembangunan futsal di kawasan masing-masing serta menjadi agen perubahan dalam memperkukuh ekosistem sukan futsal negara.

Tambahnya, proses pembelajaran seorang jurulatih tidak terhenti selepas memperoleh sijil kerana dunia sukan sentiasa berkembang dengan pendekatan baharu, teknologi moden dan corak permainan yang semakin pantas.

Sehubungan itu, beliau menggesa jurulatih sentiasa menambah ilmu, mengikuti perkembangan semasa dan memperbaiki diri agar terus relevan serta mampu bersaing di peringkat lebih tinggi.

Pada masa sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak penganjur, tenaga pengajar, fasilitator dan urus setia yang menjayakan Kursus Kejurulatihan Futsal AFC Tahap 1 Tahun 2026.

Beliau yakin peserta yang berjaya menamatkan kursus berkenaan mampu melahirkan generasi pemain futsal lebih berkualiti dan berupaya mengharumkan nama negeri serta negara pada masa hadapan.

RELATED ARTICLES
Sukan

Sabah berpesta gol di Likas

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular