KUALA LUMPUR: Kerajaan Sabah merancang menubuhkan sebuah unit khas bagi memacu pertumbuhan ekonomi kreatif di negeri itu sebagai usaha memperluaskan peluang kerjaya dan ekonomi kepada golongan muda.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, langkah itu merupakan antara inisiatif kerajaan negeri untuk membantu anak muda menjadikan minat dan bakat mereka sebagai kerjaya mampan yang mampu menjana pendapatan pada masa depan.
Menurutnya, perkembangan pesat dunia digital termasuk dalam bidang e-sukan dan industri kreatif membuka ruang baharu yang perlu dimanfaatkan sebagai platform pembangunan belia dan pertumbuhan ekonomi.
“Kerajaan negeri melalui Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah sedang merancang pelbagai inisiatif termasuk menubuhkan sebuah unit khas untuk memacu pertumbuhan ekonomi kreatif.
“Usaha ini bertujuan membuka lebih banyak ruang kepada anak-anak muda Sabah untuk menjadikan minat dan bakat mereka sebagai kerjaya yang mampan serta mampu menjana pendapatan pada masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis penutupan Hari Sukan Anak Sabah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak, semalam.
Dalam pada itu, Nizam berkata mahasiswa khususnya dari Sabah bukan sekadar penuntut ilmu, sebaliknya pemimpin masa depan yang membawa idea, tenaga dan semangat perubahan kepada masyarakat.
Katanya, kerajaan negeri turut menunjukkan komitmen besar terhadap pembangunan pendidikan dan belia menerusi pemberian Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS).
Menurut beliau, seramai 13,550 pelajar Sabah menerima manfaat BKNS sepanjang tempoh 2021 hingga 2024, manakala peruntukan biasiswa itu turut ditingkatkan kepada RM136 juta tahun lalu.
“Ini membuktikan bahawa kerajaan negeri sentiasa percaya bahawa pelaburan terbesar untuk masa depan Sabah adalah pelaburan kepada anak mudanya,” katanya.
Nizam berkata, agenda pembangunan belia turut diperkukuh menerusi inisiatif Belia Sabah Maju Jaya (Belia SMJ) yang memberi fokus kepada pembangunan kepimpinan, keusahawanan, latihan kemahiran, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), ekonomi kreatif serta pemerkasaan belia di seluruh Sabah.
“Kita mahu memastikan anak-anak muda Sabah bukan sahaja berjaya dalam akademik dan sukan, tetapi turut mempunyai daya saing, peluang pekerjaan dan ruang untuk membina masa depan yang lebih baik,” katanya.
Mengulas program berkenaan, beliau memuji penganjuran Hari Sukan Anak Sabah yang berjaya menghimpunkan penyertaan mahasiswa Sabah daripada tiga kampus universiti menerusi pelbagai acara seperti futsal, badminton, bola tampar dan e-sukan.
Katanya, program itu bukan sahaja menampilkan kepelbagaian bakat anak muda Sabah, malah membuktikan generasi muda negeri itu mampu bersaing dalam pelbagai arena.
“Tahniah kepada Persatuan Ikatan Anak-Anak Sabah Kampus Gombak dan seluruh jawatankuasa yang bertungkus-lumus memastikan kejayaan program ini,” katanya.



