Oleh Erdie Ab Wahid
KOTA KINABALU: Aktiviti sukan di sekolah merupakan medium terbaik dalam membentuk murid yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek, sekali gus melahirkan generasi berdisiplin, berdaya saing serta memiliki sahsiah terpuji.
Pengerusi Penglibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Pihak Swasta (PIBKS) Datuk Mohammad Arif Tun Sakaran berkata, penglibatan aktif murid dalam sukan bukan sahaja membantu meningkatkan kecergasan fizikal, malah membentuk ketahanan mental, semangat kesukanan dan daya kepimpinan.
“Melalui sukan, murid diasuh dengan nilai disiplin, tanggungjawab, ketekunan dan semangat untuk terus berusaha.
“Ini amat penting dalam usaha melahirkan modal insan berkualiti dan berdaya saing pada masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Penutupan Kejohanan Olahraga Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Padang Kali Ke-35 di sini pada Ahad.
Arif berkata, pelaksanaan Dasar 1 Murid 1 Sukan juga terus memainkan peranan signifikan dalam memastikan setiap murid mendapat peluang menyertai aktiviti sukan secara aktif.
Katanya, dasar tersebut bukan sahaja menghidupkan budaya sukan di sekolah, malah membantu mengeratkan hubungan antara warga sekolah dengan komuniti setempat.
“Pembangunan murid secara holistik melalui aktiviti kokurikulum seperti ini amat penting bagi memastikan mereka membesar sebagai individu yang sihat, cergas dan seimbang,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan kejohanan olahraga bukan sekadar medan pertandingan untuk merebut kemenangan, sebaliknya menjadi platform pendidikan yang mengajar murid tentang usaha, pengorbanan, perancangan dan ketabahan.
Aktiviti sukan juga, katanya, memainkan peranan besar dalam memupuk perpaduan, toleransi dan semangat kerjasama dalam kalangan murid daripada pelbagai latar belakang.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada semua peserta yang mengambil bahagian, sama ada yang berjaya meraih kemenangan mahupun yang belum memperoleh tempat.
“Penyertaan itu sendiri sudah menunjukkan keberanian dan semangat yang tinggi. Teruskan berusaha dan jangan mudah berputus asa,” katanya. – SABAH MEDIA



