KOTA KINABALU: Sebanyak RM12.02 bilion siling pembangunan telah diluluskan untuk Sabah di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi membiayai 1,173 program dan projek – peruntukan pembangunan terbesar dalam sejarah negeri ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor bagaimanapun mengingatkan bahawa ia bukan sekadar soal perbelanjaan, tetapi mengenai pelaksanaan, impak serta memastikan pembangunan sampai kepada komuniti di seluruh Sabah.
“Industri pembinaan akan memainkan peranan utama dalam transformasi ini. Di seluruh Sabah, kita sedang menyaksikan momentum kukuh dalam pembangunan infrastruktur, daripada jalan raya dan kemudahan kesihatan kepada utiliti serta jaringan digital.
“Lebuh Raya Pan Borneo khususnya menggambarkan momentum ini. Ia bukan sekadar mewujudkan hubungan, malah membuka peluang ekonomi dan meningkatkan akses di seluruh negeri.
“Pusat bandar kita – Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau sedang berkembang menjadi hab moden dan dinamik yang mencerminkan Sabah baharu yang sedang kita bina,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis perasmian International Construction Week (ICW) Borneo dan BuildXpo di Hotel Sheraton Kota Kinabalu di sini pada Selasa.
Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Masidi Manjun.
Berdasarkan cabaran pelaksanaan sebelum ini, Hajiji berkata, berkata keutamaan pada masa hadapan adalah mempercepatkan penyampaian, memperkukuh koordinasi dan memastikan projek dilaksanakan dengan nilai yang berkekalan.
Beliau berkata, dalam tempoh lima tahun akan datang, tumpuan akan diberikan kepada strategi memperkukuh jaringan perhubungan menerusi rangkaian pengangkutan, sistem logistik dan pembangunan pelabuhan bagi memacu perdagangan serta pertumbuhan ekonomi, selain memastikan pertumbuhan yang mampan dan berdaya tahan supaya kemajuan hari ini tidak menjejaskan peluang masa hadapan.
“Strategi lain termasuk memperluaskan akses kepada perumahan mampu milik – menterjemahkan pembangunan kepada penambahbaikan nyata dalam kehidupan rakyat Sabah serta meningkatkan standard industri menerusi tadbir urus yang lebih baik, keupayaan lebih kukuh dan akauntabiliti yang lebih tinggi,” katanya.
Dalam hal ini, Hajiji berkata ICW Borneo merupakan platform penting yang menghimpunkan idea, kepakaran dan kerjasama yang diterjemahkan kepada hasil sebenar.
“Ia membolehkan Sabah berhubung secara langsung dengan pemimpin industri, pelabur dan profesional yang boleh menjadi rakan dalam perjalanan pertumbuhan kita.
“Kepada semua yang hadir hari ini, Sabah mengalu-alukan kerjasama anda. Kita mencari rakan yang membina dengan tujuan, melaksanakan dengan integriti dan komited terhadap kualiti. Peluang yang ada amat besar, meliputi infrastruktur, pembangunan bandar dan pertumbuhan mampan,” katanya.
Hajiji turut menegaskan bahawa Sabah dibuka untuk perniagaan, bersedia menerima pelaburan dan komited terhadap kemajuan.



