HomeUtamaAKPS: Sabah mahu jaminan bertulis kuasa imigresen tidak terhakis – Armizan

AKPS: Sabah mahu jaminan bertulis kuasa imigresen tidak terhakis – Armizan

Read Time:1 Minute, 41 Second

KUALA LUMPUR: Keputusan Kerajaan Negeri Sabah menangguhkan sementara pelaksanaan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) disifatkan sebagai langkah bagi memastikan kuasa autonomi imigresen negeri itu terus dipelihara seperti termaktub sejak pembentukan Malaysia.

Ahli Parlimen Papar merangkap Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, keputusan dibuat menerusi Jemaah Menteri Sabah bukan bertujuan menolak penubuhan AKPS, sebaliknya bagi memastikan jaminan diberikan Kerajaan Persekutuan diterjemahkan secara jelas dalam bentuk perundangan.

Menurut beliau, kerajaan negeri mahu jaminan berkaitan kuasa imigresen Sabah bukan sekadar diberikan secara lisan tetapi diperincikan secara bertulis supaya tidak menimbulkan sebarang kekeliruan pada masa depan.

“Saya melihat pendekatan ataupun keputusan yang dibuat oleh Kerajaan Negeri Sabah melalui Jemaah Menteri adalah untuk memastikan bahawa jaminan yang diberikan oleh Kerajaan Persekutuan dalam konteks autonomi ataupun kuasa-kuasa imigresen itu dapat dizahirkan secara bertulis.

“Kerajaan negeri menginginkan jaminan itu bukan hanya dalam bentuk verbal tetapi tersurat dengan jelas dalam peruntukan undang-undang yang ada,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Lepaking Six7 di sini pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan kerajaan negeri yang dipimpin Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, menangguhkan sementara pelaksanaan AKPS di negeri itu susulan kebimbangan berhubung kemungkinan penghakisan kuasa imigresen Sabah.

Mengulas lanjut, Armizan berkata, penangguhan sementara itu memberi ruang kepada kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan merungkai isu-isu berbangkit agar pelaksanaan AKPS dapat dilakukan tanpa membelakangkan kuasa imigresen yang dimiliki Sabah sejak pembentukan Malaysia pada 1963.

“Bukanlah Kerajaan Negeri menolak pendekatan penubuhan AKPS dengan tujuan untuk memperkukuhkan kawalan di sempadan, tetapi memastikan ia dapat digerakkan tanpa membelakangkan kuasa-kuasa imigresen yang ada pada negeri,” katanya.

Sebelum ini, kerajaan Sabah dilaporkan menangguhkan pelaksanaan AKPS selepas mendapati terdapat beberapa perkara berkaitan Akta Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia 2024 yang perlu diperhalusi termasuk bidang kuasa operasi serta kedudukan autonomi imigresen negeri di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Isu berkenaan mencetuskan perdebatan apabila kerajaan negeri menegaskan hak autonomi imigresen Sabah adalah perkara yang tidak boleh dikompromi kerana ia sebahagian daripada hak yang dipersetujui semasa pembentukan Persekutuan Malaysia.

RELATED ARTICLES
Utama

CFLC dibuka di BBP Putatan, galak komuniti dekati balai bomba

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular