HomeUtamaMahkamah putuskan kes rasuah Jabatan Air Sabah hari ini

Mahkamah putuskan kes rasuah Jabatan Air Sabah hari ini

Read Time:2 Minute, 15 Second

Oleh J Evachel John

KOTA KINABALU: Bekas pengarah Jabatan Air Sabah, Ag Mohd Tahir Mohd Talib dan dua lagi akan mengetahui sama ada mereka didapati bersalah atau dilepaskan daripada pelbagai pertuduhan pengubahan wang haram, hari ini.

Keputusan kes juga melibatkan isteri Ag Tahir, Fauziah Piut dan bekas timbalan pengarah Jabatan Air Sabah, Lim Lam Beng.

Prosiding dijangka bermula jam 11 pagi.

Ketiga-tiga tertuduh — Ag Mohd Tahir, Fauziah dan Lim — didakwa pada 29 Disember 2016 dan mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan dikenakan.

Ag Mohd Tahir selaku tertuduh pertama berdepan 11 pertuduhan di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 serta satu pertuduhan di bawah Seksyen 4(1)(a) akta sama.

Fauziah selaku tertuduh kedua pula berdepan 19 pertuduhan di bawah Seksyen 4(1)(b) akta sama.

Fauziah and Ag Tahir  turut berdepan dua pertuduhan bersama di bawah Seksyen 4(1)(b) dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Ag Mohd Tahir dan isterinya didakwa melakukan kesalahan itu di pejabatnya di sini, sebuah rumah di Sembulan, beberapa cawangan bank, sebuah kondominium di Sulaman dan sebuah menara di Kuala Lumpur antara 4 Oktober hingga 4 November 2016.

Lim pula berdepan empat pertuduhan kerana didakwa memiliki sebuah Toyota Land Cruiser, wang tunai RM200,000, RM1.9 juta dan RM280,000 yang dipercayai hasil aktiviti haram di pejabat SPRM di Jalan UMS dan sebuah rumah di sini antara 13 Oktober hingga 8 November 2016.

Selepas beberapa siri penangguhan, perbicaraan bermula pada 7 Mei 2018 dengan pihak pendakwaan memanggil 46 saksi.

Semasa pembelaan, Ag Mohd Tahir memanggil 15 saksi termasuk beberapa saksi berprofil tinggi seperti bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Joseph Pairin Kitingan dan bekas menteri Datuk Raymond Tan Shu Kiah.

Fauziah hanya memberi keterangan tidak bersumpah semasa pembelaannya dan selebihnya bergantung kepada saksi yang dipanggil oleh Ag Mohd Tahir, manakala Lim memberi keterangan bersumpah sebagai saksi tunggal dalam pembelaannya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mahadi Jumaat, Haresh Prakash Somiah dan Zander Lim.

Ag Mohd Tahir dan Fauziah diwakili peguam Datuk Ansari Abdullah, Sharatha Masyaroh John Ridwan Lincon, Fadzidahtul Ardianah, Rasrina Patrick T. Rining dan Noorsyazwani Sapri.

Lim pula diwakili peguam Datuk Tan Hock Chuan, Baldev Singh dan Kelvin Wong.

Untuk rekod, bekas timbalan pengarah Jabatan Air Sabah, Teo Chee Kong, mengaku tidak bersalah pada 13 Disember 2016 terhadap 146 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM32.923 juta.

Beliau pada awalnya dijadual dibicarakan bersama tiga tertuduh lain. Bagaimanapun, Teo dilepas dan dibebaskan oleh mahkamah sama pada 17 Mac 2022 sebelum menjadi saksi pendakwaan dalam kes terhadap ketiga-tiga tertuduh.

Pada 18 Februari 2022, Teo dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA) terhadap semua 146 pertuduhan sebelum SPRM kemudian mengenakan kompaun RM30 juta terhadapnya.

Tamat.- SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Lelaki dipenjara 24 bulan kerana curi elektrik

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular