HomeUtama24 pelajar FPKS UMS sertai program mobiliti antarabangsa di Indonesia

24 pelajar FPKS UMS sertai program mobiliti antarabangsa di Indonesia

Read Time:1 Minute, 16 Second

KOTA KINABALU : Seramai 24 pelajar Fakulti Psikologi dan Kerja Sosial (FPKS), Universiti Malaysia Sabah (UMS) menyertai Program Mobiliti Antarabangsa ke Indonesia baru-baru ini bagi memperluas pengalaman akademik serta meningkatkan kompetensi global mahasiswa.

Program yang berlangsung selama seminggu di Bandung itu melibatkan kerjasama beberapa institusi pendidikan tinggi Indonesia iaitu Universitas Pendidikan Indonesia (UPI), Universitas Jenderal Achmad Yani (UNJANI), Universitas Pasundan (UNPAS) dan Politeknik Kesejahteraan Sosial Bandung (POLTEKESOS).

Dekan FPKS UMS, Prof Dr Mohd Dahlan A Malek berkata, program mobiliti antarabangsa berkenaan menjadi platform penting dalam melahirkan graduan yang lebih berdaya saing dan mempunyai perspektif antarabangsa.

“Program seperti ini memberi peluang kepada pelajar untuk keluar daripada zon selesa, memahami budaya negara lain serta membina hubungan antarabangsa yang bermanfaat untuk masa depan,” katanya.

Delegasi FPKS itu terdiri daripada pelajar Program Psikologi Industri dan Organisasi yang diketuai Pengarah Program, Fasyalinda Sarbi.

Sepanjang berada di Indonesia, peserta mengikuti pelbagai aktiviti akademik dan kebudayaan termasuk sesi perkongsian ilmu, pembentangan akademik, lawatan institusi serta pertukaran budaya bersama mahasiswa Indonesia.

Delegasi turut mengadakan lawatan ke Radio Republik Indonesia bagi memahami peranan media dan penyiaran dalam masyarakat setempat.

Dalam pada itu, Fasyalinda berkata, pengalaman menyertai program mobiliti antarabangsa itu memberi peluang kepada mahasiswa untuk melihat dunia luar daripada perspektif lebih luas selain membina hubungan akademik rentas negara.

“Program ini diharap dapat membuka ruang kepada lebih banyak kerjasama antarabangsa antara institusi pendidikan tinggi Malaysia dan Indonesia pada masa hadapan,” ujar beliau. 

Turut serta dalam program tersebut dua pensyarah pengiring iaitu Prof Madya Dr Muhammad Idris Bullare @ Bahari dan Dr Lailawati Madlan @ Endalan.

RELATED ARTICLES
Utama

Kerjasama penduduk, pihak berwajib pastikan Putatan terus bersih – Shah Alfie

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular