HomeUtamaInkues Zara: Konflik anak dan ibu bapa bukan faktor langsung tindakan akhiri...

Inkues Zara: Konflik anak dan ibu bapa bukan faktor langsung tindakan akhiri nyawa

Read Time:1 Minute, 20 Second

Oleh J Evachel John

KOTA KINABALU: Konflik antara anak dan ibu bapa yang dianggap berlaku bukan faktor langsung yang menyumbang kepada kemungkinan tindakan Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir mengakhiri nyawa sendiri, Mahkamah Koroner diberitahu hari ini.

Pakar perunding psikiatri forensik, Dr Chua Sze Hung berpendapat bahawa sesi soal siasat oleh pelajar senior serta pengasingan yang didakwa berlaku pada malam sebelum kejadian yang menimpa Zara merupakan faktor langsung yang menyumbang kepada insiden itu.

“Saya ingin menegaskan bahawa konflik yang dianggap berlaku antara anak dan ibu bapa bukan faktor langsung dalam kes ‘suicide’ ini. Ia hanyalah salah satu daripada banyak faktor predisposisi atau dikenali sebagai faktor tidak langsung.

“Faktor langsung di sini, pada pendapat saya, adalah soal siasat yang memberi tekanan serta pengasingan pada pagi itu,” katanya ketika menjawab soalan Pegawai Pengendali inkues, Timbalan Pendakwa Raya Dacia Jane Romanus.

Dacia bertanya sama ada terdapat faktor tertentu yang menyumbang kepada kesimpulan Dr Chua dalam laporan bedah siasatnya bahawa cara kematian Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir adalah paling konsisten dengan ‘suicide’.

Menjawab soalan lain, Dr Chua berkata adalah tidak tepat dan sering disalah ertikan bahawa konflik antara anak dan ibu bapa berlaku secara 24/7 (sepanjang masa).

“Selalunya ia berlaku secara episodik. Sekali lagi, psikologi adalah sesuatu yang sangat peribadi dan bergantung kepada konteks. Ia bergantung kepada bagaimana si mati menafsir dan memproses episod tersebut.

“Seseorang yang sensitif terhadap penolakan dan mengalami ketidakstabilan emosi akan menafsir pengalaman tertentu secara lebih negatif dan merasai kesakitan psikologi dengan lebih mendalam,” katanya.

Zara, 13, ditemui tidak sedarkan diri di tingkat bawah asramanya sebelum disahkan meninggal dunia pada 17 Julai 2025 di Hospital Queen Elizabeth.

RELATED ARTICLES
Utama

Telur penyu bernilai RM3,000 dirampas di Tuaran

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular