HomeUtamaPolis kesan pemandu Hilux terbabit kemalangan maut di Sepanggar

Polis kesan pemandu Hilux terbabit kemalangan maut di Sepanggar

Read Time:55 Second

KOTA KINABALU: Polis sedang mengesan pemandu sebuah Toyota Hilux berwarna hitam yang dipercayai terlibat dalam kemalangan maut membabitkan seorang pejalan kaki di Jalan Sepanggar berhampiran Kampung Sepakat Jaya, pada 22 Mei lalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Ab Rahman berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 4.25 petang apabila mangsa lelaki berusia 69 tahun dipercayai melintas jalan dari arah kanan ke kiri menuju ke kawasan Indah Permai.

Menurutnya, mangsa kemudian dilanggar sebuah Toyota Hilux yang bergerak di lorong kiri jalan.

“Akibat pelanggaran itu, mangsa tercampak ke bahu jalan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian pada jam 4.56 petang oleh pegawai perubatan Hospital Likas,” katanya dalam kenyataan media.

Beliau berkata, pemandu kenderaan terbabit dipercayai meninggalkan lokasi kejadian sejurus selepas kemalangan berlaku.

Katanya, mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I untuk bedah siasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Brymenedren Godon di talian 010-7768802 atau tampil ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

RELATED ARTICLES
Utama

Program khatan percuma bantu kurangkan kos kewangan ibu bapa

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular