HomeUtamaWarisan budaya dan adat resam Sabah perlu terus dipelihara

Warisan budaya dan adat resam Sabah perlu terus dipelihara

Read Time:1 Minute, 19 Second

KOTA KINABALU : Warisan budaya, adat resam serta nilai tradisi masyarakat pribumi di Sabah perlu terus dipelihara dan diwariskan kepada generasi akan datang agar identiti negeri ini kekal subur serta dihargai sepanjang zaman.

Yang di-Pertua Negeri Tun Musa Aman berkata, tradisi, bahasa, seni dan adat resam masyarakat di negeri ini merupakan khazanah amat bernilai yang menjadi identiti serta jiwa Sabah.

Beliau berkata, kepelbagaian budaya yang dimiliki rakyat Sabah bukan sahaja mencerminkan keunikan negeri ini, malah menjadi simbol perpaduan dan keharmonian masyarakat pelbagai kaum.

“Dalam masa yang sama, kita mesti terus memelihara dan menghargai tradisi budaya, warisan masyarakat pribumi serta nilai-nilai yang diwariskan oleh nenek moyang kita.

“Tradisi, bahasa, seni dan adat resam masyarakat kita merupakan khazanah yang amat bernilai serta menjadi identiti dan jiwa Negeri Sabah,” katanya dalam perutusan sempena Pesta Kaamatan 2026 di sini.

Tun Musa berkata, menjadi tanggungjawab bersama untuk memastikan segala warisan berkenaan terus subur, dihargai dan diperturunkan kepada generasi muda.

Katanya, sambutan Pesta Kaamatan bukan sekadar acara kebudayaan tahunan, tetapi turut menjadi medium penting dalam memperkukuhkan semangat perpaduan serta menghargai warisan masyarakat pelbagai etnik di Sabah.

Tambah beliau, walaupun peranan penanaman padi dalam kehidupan masyarakat kini berubah seiring arus pemodenan, inti pati Kaamatan sebagai simbol kesyukuran, kebersamaan dan saling menghormati tetap kekal utuh.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan rakyat agar terus menolak unsur perpecahan, fahaman ekstrem dan sentimen sempit yang boleh menggugat keharmonian yang telah lama dipupuk di negeri ini.

Beliau dan isteri, Toh Puan Faridah Tussin turut merakamkan ucapan Selamat Menyambut Pesta Kaamatan 2026 kepada seluruh rakyat Sabah yang meraikannya.

“Kotobian Tadau Tagazo Do Kaamatan,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

PM Anwar ke Sabah hari ini, rasmi sambutan Pesta Kaamatan 2026

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular