SEMPORNA: Seorang lelaki ditahan selepas gagal mengemukakan sebarang kebenaran bertulis daripada Pengawal Bekalan untuk memiliki atau menyimpan barang kawalan dalam satu operasi penguatkuasaan di Jeti Kampung Air Pekan Semporna, di sini.
Penahanan itu dibuat susulan tindakan penguatkuasaan menerusi Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) yang dilaksanakan bagi membanteras aktiviti penyelewengan barang kawalan bersubsidi di daerah Semporna dan kawasan perairan sekitarnya.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sabah dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya menerima satu kes serahan daripada Batalion 22 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kunak pada 4 Jun lalu hasil operasi yang dijalankan di lokasi berkenaan.
Dalam operasi itu, pihak berkuasa turut menyita sebanyak 675 liter barang kawalan dipercayai minyak diesel bersubsidi, sebuah bot kayu tanpa nombor pendaftaran dan sebuah enjin sangkut jenama Yamaha 40HP.
Menurut kenyataan itu, nilai rampasan barang kawalan dianggarkan berjumlah RM2,646 manakala keseluruhan nilai rampasan termasuk barang bukan kawalan dianggarkan sebanyak RM5,244.40.
“Individu terbabit ditahan selepas gagal mengemukakan sebarang kebenaran bertulis daripada Pengawal Bekalan bagi memiliki atau menyimpan barang kawalan tersebut.
“Sehubungan itu, KPDN Semporna telah membuka satu kertas siasatan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 untuk tindakan lanjut,” menurut kenyataan berkenaan.
KPDN turut memberi amaran keras kepada mana-mana individu atau syarikat supaya sentiasa mematuhi peruntukan undang-undang yang ditetapkan dan tidak terlibat dalam sebarang aktiviti penyelewengan barang kawalan bersubsidi.
Menurut KPDN, mana-mana individu yang didapati bersalah di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta bagi kesalahan pertama dan sehingga RM3 juta bagi kesalahan berikutnya, atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Bagi syarikat pula, denda sehingga RM2 juta boleh dikenakan bagi kesalahan pertama dan sehingga RM5 juta bagi kesalahan berikutnya jika disabitkan kesalahan.
KPDN turut menggesa orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyelewengan barang kawalan melalui saluran aduan rasmi yang disediakan bagi membantu usaha penguatkuasaan membanteras ketirisan subsidi negara.



