KOTA KINABALU: Seramai 20 lelaki warga China dan seorang wanita warga Taiwan didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini berhubung pakat jahat jenayah (konspirasi) skim pelaburan palsu.
Tertuduh ialah Li Yongbin, 35; Wei Mingya, 29; Fan Zisheng, 24; Zu Shanjie, 29; Cui Xiaofeng, 28; Zhang Enqi, 33; Zou Xianglai, 23; Wen Zhonghua, 31; Dai Wenhoa, 31; Xu Youjie, 29; Wang Zhihong, 21; Che Shinxing, 23; Xie Shuang, 27; Lu Zuowei, 37; Zhanghao, 27; Ma Pan, 32; Wang Hao, 26; Zhang Yiliang, 25; Yang Haoxin, 18; Ma Jianchao, 26; serta seorang wanita, Li Xuanqi, 25.
Tujuh tertuduh dihadapkan di hadapan Majistret Dzul Elmy Yunus, lapan di hadapan Majistret Marilyn Kelvin manakala enam lagi di hadapan Majistret Wan Farrah Farriza Wan Ghazali.
Kesemua tertuduh berumur antara 18 dan 37 tahun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan masing-masing dibacakan dalam bahasa cina.
Mengikut pertuduhan didakwa melakukan pakat jahat jenayah untuk melakukan satu perbuatan yang menyalahi undang-undang laitu dengan curangnya mendorong mangsa untuk mempercayai wujudnya satu skim pelaburan yang tidak wujud yang bertentangan dengan seksyen 417 Kanun Keseksaan.
Mereka didakwa secara bersama-sama melakukan kesalahan itu pada 21 Mei kira-kira jam 10 malam di sebuah bilik hotel di Bandaran Berjaya, di sini.
Kesemua tertuduh didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 120B(1) Kanun Keseksaan.
Sekiranya disabitkan kesalahan, menurut Seksyen 417 Kanun Keseksaan, tertuduh boleh dihukum dengan penjara selama tempoh yang boleh sampai lima tahun, atau denda, atau dengan kedua-duanya.
Mahkamah menetapkan Jumaat ini (12 Jun) untuk sebutan semula kes dan tiada jaminan dibenarkan.
Timbalan Pendakwa Raya Aakash Singh dan Arfa Anchal Khan mengendalikan pendakwaan, manakala tertuduh diwakili peguam Shahlan Jufri dan Mohd Luqman Syazwan Zabidi Md Zain.
Sementara itu, kesemua tertuduh kecuali Zhu Shanjie turut didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan tinggal di Sabah melebihi tempoh yang dibenarkan di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Mahkamah turut menetapkan Jumaat ini untuk sebutan semula kes.
Timbalan Pendakwa Raya Bryan Francis mengendalikan pendakwaan manakala peguam Shahlan Jufri mewakili kesemua tertuduh.



