KOTA KINABALU : Gempa bumi kuat berukuran magnitud 7.9 melanda kawasan Mindanao, Filipina pada pagi Isnin, dengan gegaran dilaporkan turut dirasai di beberapa kawasan di pantai timur Sabah termasuk Tawau dan Semporna.
Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), kejadian itu berlaku pada jam 7.37 pagi dengan koordinat 5.7 darjah Utara dan 125.1 darjah Timur.
Pusat gempa bumi berkenaan dikesan kira-kira 97 kilometer ke selatan Koronadal City, Filipina dengan kedalaman 50 kilometer.
MET Malaysia memaklumkan pihaknya sedang memantau perkembangan kejadian tersebut dan mendapatkan maklumat lanjut berkaitan kesan gempa berkenaan.
Gegaran akibat gempa bumi itu dilaporkan dirasai oleh penduduk di Tawau, Semporna serta kawasan sekitarnya.
Sehubungan itu, MET Malaysia memohon kerjasama orang ramai yang merasai gegaran susulan kejadian tersebut supaya mengisi borang soal selidik https://docs.google.com/forms/d/e/1FAIpQLScJr8GpWSHtL_cMLXGKkOmtBUEt-MiFSQtPzE8XAd1Wv9-wUA/viewform bagi membantu pihak berkuasa merekodkan kesan dan maklumat berkaitan gempa bumi.
Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa mendapatkan maklumat daripada sumber rasmi serta mengikuti perkembangan terkini berkaitan kejadian berkenaan.



