HomeUtamaMAHAKARYA 2026 serlah keupayaan mahasiswa gabung ilmu akademik dan industri kreatif

MAHAKARYA 2026 serlah keupayaan mahasiswa gabung ilmu akademik dan industri kreatif

Read Time:1 Minute, 37 Second

KOTA KINABALU:  Penganjuran MAHAKARYA 2026 bukan sekadar pameran projek akhir pelajar, sebaliknya menjadi ruang pengujian ilmu, eksplorasi artistik dan penerapan penyelidikan kreatif yang dipelajari mahasiswa sepanjang tempoh pengajian di universiti.

Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor berkata, program anjuran Akademi Seni dan Teknologi Kreatif (ASTiF) tersebut turut menjadi platform penting dalam memperlihatkan kemampuan mahasiswa menghubungkan ilmu akademik dengan realiti masyarakat dan industri kreatif semasa.

“Setiap karya yang dipersembahkan bukan hanya lahir daripada bakat semula jadi, tetapi dibentuk melalui proses pembelajaran, latihan, penyelidikan dan pemikiran kritikal yang panjang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan MAHAKARYA 2026 yang berlangsung di Theatrette Ahmad Nisfu, ASTiF, baru-baru ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMS, Profesor Datuk Dr. Rossita Shapawi.

Tambah Kasim, seni bukan sekadar medium hiburan atau ruang meluahkan emosi, sebaliknya merupakan bahasa tamadun yang mencerminkan identiti, nilai dan pemikiran sesebuah masyarakat.

“Seni mengajar manusia untuk melihat lebih dalam daripada apa yang kelihatan, mendengar lebih daripada apa yang diperkatakan serta memahami kehidupan melalui perspektif kemanusiaan yang lebih luas.

“Sesebuah bangsa bukan hanya dikenang melalui pembangunan fizikal atau kekuatan ekonomi semata-mata, tetapi juga melalui karya seni dan budaya yang diwariskan kepada generasi akan datang,” katanya.

Sementara itu, Dekan ASTiF UMS, Profesor Madya Dr. Zairul Anwar Md. Dawam berkata, pelancaran Program Teater dengan Tari mencerminkan usaha akademi menyediakan ruang pembelajaran yang lebih terbuka, dinamik dan relevan dengan perkembangan seni persembahan masa ini.

“Program ini diperkenalkan menerusi penambahbaikan struktur akademik bagi memperkukuh fokus pengajian dalam bidang teater dan tari, sekali gus memenuhi keperluan standard kualiti pendidikan serta piawaian yang ditetapkan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

“Langkah ini bertujuan memastikan fokus pengajian yang lebih jelas, pembangunan kepakaran yang lebih mendalam serta pengalaman pembelajaran yang lebih bermakna kepada pelajar,” katanya.

Tambah Zairul, melalui gabungan teater dan tari, pelajar bukan sahaja dilatih dalam aspek persembahan, tetapi turut diasah dari sudut kepekaan emosi, disiplin, keyakinan diri dan keberanian menyuarakan idea.

RELATED ARTICLES
SukanUtama

KK City Fun Ride tampilkan KK sebagai destinasi pelancongan sukan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular