KUALA LUMPUR, Dua anggota Batalion Malaysia (MALBATT) 850-13 cedera ringan selepas konvoi logistik yang mereka sertai terkena kesan sampingan daripada satu serangan udara di kawasan berhampiran Haris, Lubnan, pagi tadi.
Kementerian Pertahanan dalam satu kenyataan memaklumkan insiden itu berlaku pada 9.25 pagi waktu tempatan, kira-kira satu kilometer di barat Pangkalan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNP) 6-43 di Tibnin ketika konvoi berkenaan sedang melaksanakan misi ulang bekal rutin menuju ke Tyre.
Menurut kementerian, kedua-dua anggota terbabit mengalami kecederaan ringan akibat terkena serpihan cermin kenderaan, manakala dua kenderaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengalami kerosakan pada bahagian luaran.
Pasukan Tindak Balas Pantas (QRF) MALBATT 850-13 dari UNP 6-43 kemudiannya diaktifkan dengan sokongan pasukan perubatan dan elemen logistik bagi membantu anggota terlibat serta melaksanakan kerja pemulihan kenderaan yang terjejas sebelum konvoi dibawa pulang ke pangkalan dengan selamat.
“Kedua-dua anggota yang cedera telah menjalani pemeriksaan perubatan dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil. Tiada kecederaan serius atau kehilangan nyawa dilaporkan, manakala waris anggota yang terlibat telah dimaklumkan mengenai insiden ini,” menurut kenyataan itu.
Sebagai langkah memperkukuh keselamatan, MALBATT 850-13 telah memperketat prosedur pergerakan konvoi, meningkatkan pemantauan situasi keselamatan, memperkukuh koordinasi dengan Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) serta melaksanakan penilaian risiko yang lebih menyeluruh sebelum sebarang pergerakan di kawasan operasi.
Kementerian Pertahanan berkata Angkatan Tentera Malaysia akan terus memantau perkembangan situasi keselamatan di kawasan operasi bagi memastikan tahap kesiapsiagaan anggota sentiasa berada pada tahap tertinggi demi menjamin keselamatan dan kelancaran pelaksanaan mandat misi pengaman Malaysia di Lubnan.



