KOTA KINABALU: Seramai 114 warga asing ditahan dalam operasi penguatkuasaan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah yang dijalankan di tiga daerah iaitu Tawau, Lahad Datu dan Sandakan.
Operasi berkenaan dilaksanakan menerusi Ops Bersepadu, Ops Sapu, Ops Mahir, Ops Kutip, Ops Belanja dan Ops Jaja.
Di Tawau, seramai 108 individu diperiksa dengan 61 warga asing ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan imigresen, termasuk tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah serta melanggar syarat pas di bawah Akta Imigresen 1959/63.
Mereka yang ditahan terdiri daripada 54 warga Filipina iaitu 53 lelaki dewasa dan seorang perempuan dewasa, seorang lelaki warga Pakistan serta enam warga Indonesia membabitkan dua lelaki dewasa dan empat perempuan dewasa.
Di Lahad Datu pula, seramai 86 individu diperiksa dan 35 warga asing ditahan.
Tangkapan melibatkan 22 warga Filipina terdiri daripada tujuh lelaki dewasa, enam perempuan dewasa, dua kanak-kanak lelaki dan tujuh kanak-kanak perempuan.
Turut ditahan ialah 13 warga Indonesia membabitkan tiga lelaki dewasa, tiga perempuan dewasa, lima kanak-kanak lelaki dan dua kanak-kanak perempuan.
Di Sandakan, seramai 64 individu diperiksa dengan 18 warga asing ditahan.
Mereka terdiri daripada 17 warga Filipina iaitu sembilan lelaki dewasa dan lapan perempuan dewasa serta seorang perempuan warga Indonesia.
JIM Sabah dalam satu kenyataan menegaskan komitmennya untuk terus mempergiat operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi membanteras kehadiran pendatang asing tanpa izin (PATI) serta memastikan pematuhan terhadap undang-undang imigresen negara sentiasa dipelihara.




