KOTA KINABALU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan rakyat supaya tidak mengambil mudah soal perpaduan kerana keharmonian negara perlu sentiasa dipelihara bagi menjamin kestabilan serta pertumbuhan ekonomi.
Beliau berkata, majoriti rakyat Malaysia memahami kepentingan keamanan dan perpaduan kerana kestabilan yang wujud menjadi asas kepada pemulihan serta pembangunan ekonomi negara.
Menurutnya, walaupun negara kini berada dalam keadaan aman dan bersatu, rakyat tidak seharusnya menganggap perpaduan akan kekal tanpa usaha berterusan untuk memupuknya.
“Majoriti rakyat negara ini faham erti perpaduan. Majoriti rakyat ini inginkan negara ini aman dan damai kerana mereka tahu harga nikmat serta faedah daripada perpaduan yang membawa kepada kestabilan dan boleh memperkasakan pemulihan serta pertumbuhan ekonomi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan sambutan Minggu Perpaduan Kebangsaan di Kompleks Sukan Kota Kinabalu (KSKK) di sini pada Sabtu.
Anwar berkata, cabaran utama dalam mempertahankan perpaduan adalah apabila wujud pengaruh yang cuba menghakis semangat kebersamaan serta menanam sentimen perpecahan antara kaum, agama dan wilayah.
“Jangan kita leka dan membuat andaian bahawa perpaduan itu suatu yang kemestian berlaku di setiap keadaan tanpa memupuk semangat dan menghalang ikhtiar yang lain yang memecah-belahkan,” katanya.
Menurut beliau, Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum, suku, agama dan wilayah memerlukan kebijaksanaan serta kematangan untuk terus mempertahankan kesatuan sebagai sebuah negara bangsa.
Beliau berkata, pembentukan Malaysia adalah hasil wawasan pemimpin terdahulu yang mampu melihat kepentingan masa depan negara melebihi perbezaan latar belakang.
Katanya, tokoh seperti Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Tun Mustapha, Tun Fuad Stephens dan Temenggong Jugah mempunyai visi besar dalam membina sebuah negara yang bersatu walaupun masyarakatnya berbeza budaya serta identiti.
“Perbezaan itu bukan kelemahan, tetapi kekuatan apabila kita mampu membayangkan diri kita sebagai satu kesatuan,” katanya.
Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata kepelbagaian kaum dan budaya perlu diraikan dengan rasa hormat, bukannya dijadikan alasan untuk mencetuskan kebencian atau perpecahan.
Beliau berkata, usaha memperkukuh perpaduan perlu melibatkan semua pihak termasuk institusi kerajaan, sekolah, universiti dan masyarakat.
Sehubungan itu katanya, kerajaan terus memperkasa program perpaduan melalui Kementerian Perpaduan Negara termasuk penglibatan Sekretariat Rukun Negara di institusi pengajian tinggi serta Kelab Rukun Negara di sekolah.
Anwar turut mengumumkan kerajaan menyediakan geran kepada 189 Sekretariat Rukun Negara di institusi pengajian tinggi serta 6,849 Kelab Rukun Negara di sekolah sebagai usaha membentuk generasi muda yang mempunyai semangat patriotisme dan kekitaan.
Beliau berkata, kerajaan juga menyediakan geran padanan berjumlah RM5 juta bagi menghidupkan 10 Memorial Negarawan bagi menghargai jasa tokoh yang membentuk sejarah negara.
Katanya, perpaduan tidak boleh dipisahkan daripada nilai integriti kerana negara yang kukuh memerlukan rakyat yang mempunyai rasa hormat, ihsan dan tanggungjawab bersama.
“Politik stabil dan negara masih bersatu, tetapi jangan kita alpa. Kita perlu sentiasa memupuk kerjasama antara kaum supaya semangat negara bangsa ini terus terpelihara,” katanya. – SABAH MEDIA



