KOTA KINABALU: Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) Cawangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta PUSPANITA Cawangan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyantuni mahasiswa Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sabah menerusi Program Tautan Kasih yang diadakan di Dapur Hal Ehwal Pelajar (HEP), di sini, semalam.
Program kebajikan itu disertai Penaung PUSPANITA Cawangan KPDN, Datin Dr Rafidah Salleh dan Penaung PUSPANITA Cawangan KDN, Datin Seri Norhayati Musa bersama kira-kira 60 ahli rombongan daripada pelbagai kementerian dan agensi persekutuan.
Turut terlibat ialah wakil daripada KDN, Jabatan Penjara Malaysia, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Suruhanjaya Harta Intelek Malaysia (MyIPO) dan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC).
Program berkenaan bertujuan membantu kebajikan mahasiswa selain memperkasakan kemudahan penyediaan makanan di kampus.

Dalam program itu, Dapur HEP UiTM Sabah menerima sumbangan tunai RM5,000 serta pelbagai peralatan elektrik bagi meningkatkan kecekapan operasinya.
Antara peralatan yang diserahkan ialah lima ketuhar gelombang mikro, tiga peti sejuk, tiga dapur induksi, tiga mesin air panas dan dua penggoreng udara.
Selain itu, rombongan turut menyumbangkan bekalan makanan dalam tin sedia dimakan seperti sardin, kari ayam dan kari daging bagi membantu keperluan makanan pelajar.
Pertubuhan Kebajikan Kakitangan Penjara Malaysia (PERSIAP) turut menyumbangkan 300 pek makanan sejuk beku untuk diagihkan kepada mahasiswa.
Program itu mencerminkan komitmen berterusan sektor awam dan agensi berkaitan dalam mendekati komuniti institusi pengajian tinggi serta membantu meringankan beban kos sara hidup mahasiswa.
Sumbangan yang disalurkan diharap dapat memastikan kebajikan dan keperluan pemakanan pelajar terus terpelihara sepanjang tempoh pengajian mereka.



