KOTA KINABALU: Seramai 15 peserta Program Sabah Gender Focal Points (SGFP) Kohort 3 ditauliahkan sebagai jurulatih (Train the Trainers, TTT) dalam Majlis Aspirasi Kepimpinan Gender yang berlangsung di sini pada Jumaat.

Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Julita Majungki berkata, mereka akan berperanan sebagai rujukan serta ejen perubahan di kementerian, jabatan dan agensi masing-masing bagi membantu mengintegrasikan perspektif gender dalam perancangan, pelaksanaan, pemantauan dan penilaian program.
Menurut beliau, peranan tersebut penting dalam memperkukuh keupayaan agensi kerajaan merangka serta melaksanakan dasar dan program yang lebih inklusif, sekali gus meningkatkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan awam kepada rakyat.
Katanya, pentauliahan itu merupakan satu langkah signifikan ke arah memperkukuh kapasiti institusi serta membudayakan pendekatan tadbir urus yang lebih inklusif dan responsif.
“Kesaksamaan gender bukan hanya berkaitan wanita semata-mata. Ia adalah mengenai memastikan dasar dan perkhidmatan yang dilaksanakan memberi manfaat secara adil dan saksama kepada semua lapisan masyarakat.
“Saya berharap ilmu serta pengalaman yang diperoleh melalui latihan ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya untuk memperkukuh organisasi masing-masing, selain menyumbang kepada agenda pembangunan Sabah yang lebih inklusif dan mampan,” katanya ketika merasmikan majlis berkenaan.
Program SGFP yang kini memasuki Kohort 3 mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam memperkukuh kapasiti penjawat awam bagi menyokong agenda pengarusperdanaan gender di seluruh Sabah.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah, Haslina Ismail, dan Setiausaha Tetap Kementerian Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Maria Chong.



