KOTA KINABALU: Dewan Gimnastik Kompleks Sukan Kota Kinabalu kekal digunakan walaupun dalam pembaikan bagi membolehkan atlet gimnastik Sabah meneruskan latihan menjelang Sukan Malaysia pada Ogos ini.
Lembaga Sukan Sabah (LSS) dalam satu kenyataan memaklumkan perkara itu susulan penularan video di media sosial mengenai masalah atap bocor di dewan berkenaan.
Menurut LSS, kerja-kerja pembaikan atap Dewan Gimnastik telah bermula sejak 4 Jun lalu dan masih berjalan sehingga kini.
Pengurusan LSS turut mengadakan mesyuarat bersama Persatuan Gimnastik Sabah pada 25 Mei lalu bagi membincangkan cadangan penutupan dewan untuk memberi laluan kepada kerja-kerja pembaikan.
“Walaubagaimanapun, Dewan ini tidak dapat ditutup kerana Pasukan Gimnastik Sabah perlu berlatih memandangkan Sukan Malaysia akan berlangsung pada bulan Ogos tahun ini.
“Keadaan ini menyebabkan pihak kontraktor hanya dapat melaksanakan kerja-kerja pembaikan bermula jam 8 pagi hingga 2 petang sahaja, atas faktor keselamatan para atlet gimnastik dan gimrama yang berlatih setiap hari bermula jam 3 petang,” menurut kenyataan itu pada Sabtu.
LSS berkata dalam tempoh ini, terdapat beberapa bahagian yang sudah pun dibaiki. Dalam masa yang sama, kerja – kerja mengesan punca kebocoran juga masih terus berjalan.
“Video dan isu yang tular tidak menggambarkan keinginan dan usaha kami. Pihak kami sentiasa mahukan para pengguna merasa selamat dan selesa semasa menggunakan kemudahan di tempat kami,” katanya.



