SANDAKAN : Permohonan telah dikemukakan kepada Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) Sabah supaya tindakan perobohan rumah dan gerai di Kampung Gayan Sibugal ditangguhkan selama enam bulan bagi memberi ruang kepada penduduk membuat persediaan untuk berpindah.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manila, Datuk Hazem Mubarak Tun Musa berkata, penangguhan itu penting bagi memastikan kebajikan penduduk yang terlibat terus terpelihara.
“Kita memohon penangguhan selama enam bulan kepada JTU kerana kita mahu penduduk yang terlibat diberikan masa untuk membuat persediaan sebelum berpindah,” katanya kepada media selepas mengadakan lawatan dan perjumpaan bersama penduduk kampung berkenaan, di sini.
Lawatan itu turut disertai wakil JTU, Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) serta beberapa agensi kerajaan berkaitan bagi membincangkan isu yang dihadapi penduduk.

Menurut Hazem, kehadiran semua pihak terlibat adalah bagi mencari penyelesaian terbaik terhadap masalah yang dibangkitkan oleh penduduk.
“Kita perlu bertimbang rasa dan mengambil kira rayuan yang telah dikemukakan oleh penduduk. Keutamaan kita adalah memastikan keharmonian dan kesejahteraan semua pihak,” katanya.
Beliau berkata, sepanjang tempoh penangguhan yang dipohon itu, usaha akan dilakukan untuk membantu penduduk mendapatkan penempatan yang lebih sesuai.
“Dalam tempoh ini, kita akan berusaha membantu penduduk mencari tanah yang boleh dipohon mengikut saluran dan prosedur yang betul,” katanya.
Mengulas mengenai peniaga yang terlibat, Hazem berkata mereka dibenarkan meneruskan aktiviti perniagaan sepanjang tempoh penangguhan tersebut.
Menurutnya, terdapat sebahagian peniaga yang telah merobohkan premis masing-masing, namun memohon untuk terus berniaga menggunakan kanopi sementara.
“Mereka dibenarkan berniaga sepanjang tempoh penangguhan itu. MPS juga telah mencadangkan beberapa lokasi yang sesuai untuk dijadikan tapak perniagaan sementara. Mereka boleh mengemukakan permohonan dan kita akan menguruskannya secara lebih teratur mengikut agihan lot yang ditetapkan,” katanya.
Dalam pada itu, Hazem berkata pertemuan bersama penduduk turut membuka ruang kepada mereka untuk menyuarakan pelbagai masalah lain yang dihadapi di kawasan berkenaan.
“Apa sahaja perkara yang dibangkitkan oleh penduduk akan diberikan perhatian dan diteliti untuk tindakan selanjutnya,” katanya.



